12,278 premis perniagaan mohon adakan jualan murah

12,278 premis perniagaan mohon adakan jualan murah

KUALA BERANG,. Sebanyak 12,278 premis perniagaan di seluruh negara telah membuat permohonan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengadakan kempen jualan murah sejak 3 April lepas (1 Ramadan).

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid (gambar) berkata inisiatif premis perniagaan itu wajar dipuji kerana dapat meringankan beban kewangan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Seperti hari ini, sebuah pasar raya di Kuala Berang telah menurunkan harga 200 barang jualannya antara 10 hingga 20 peratus berbanding hari biasa. Potongan harga ini melibatkan barangan keperluan seperti susu kanak-kanak dan bayi, susu cair, ayam, lampin pakai buang dan barangan dapur.

“Saya berharap lebih banyak premis perniagaan akan mengadakan jualan harga murah dalam masa terdekat ini kerana proses permohonannya juga telah dipermudahkan di peringkat kementerian,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya mengikut rekod KPDNHEP, sebanyak 99,691 premis perniagaan di seluruh negara telah membuat permohonan untuk mengadakan jualan harga murah sejak 1 Januari hingga 3 April lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)