13 pekerja hotel antara 20 pendatang asing tanpa izin ditahan di Melaka

13 pekerja hotel antara 20 pendatang asing tanpa izin ditahan di Melaka

MELAKA,. Jabatan Imigresen negeri menyerbu sebuah hotel di sekitar Bandaraya Melaka yang disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa izin dalam Operasi Sapu (Op Sapu) di sini pada Selasa.

Pengarah Imigresen negeri Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata 13 pekerja asing hotel itu bersama tujuh lagi warga asing tanpa izin antara ditahan dalam beberapa siri serbuan berasingan bermula 9 pagi hingga 11 malam, Selasa.

“Kesemua mereka yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 48 tahun melibatkan seramai 17 warga Indonesia, dua warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh daripada 70 warga asing yang telah diperiksa.

“Antara lokasi yang turut menjadi sasaran ketika serbuan oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri ialah medan selera, pusat mencuci kenderaan mewah dan penempatan pekerja asing,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut Anirwan berkata hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas hotel terkemuka itu, pihaknya mendapati mereka menggunakan khidmat ejen pekerja asing yang membekalkan pekerja untuk pengemasan, pembersihan dan juga pelayan restoran.

“Seramai 41 pekerja warga asing di hotel terbabit telah diperiksa dan 13 orang yang ditahan itu disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan juga melanggar syarat pas atau permit kerja yang telah dikeluarkan.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati pihak hotel telah menggunakan khidmat pekerja terbabit kita-kira lima bulan dan ketika serbuan itu juga, ada yang cuba menyembunyikan diri selain menyamar sebagai pekerja tempatan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pada operasi di lain tempat, terdapat warga asing yang bertindak agresif dan cuba melarikan diri semasa anggotanya melakukan serbuan tanpa memikirkan keselamatan diri.

Katanya antara kesalahan lain yang dikenal pasti dalam serbuan tersebut adalah masuk dan tinggal di Malaysia secara haram dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri serta lain-lain kesalahan di bawah AktaImigresen 1959/63 (Akta 155).

“Sembilan borang saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada majikan yang bertanggungjawab untuk membantu siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )