15 keluarga diarah berpindah selepas tebing Sungai Kelantan runtuh

PASIR MAS,. Sebuah rumah runtuh dan 15 keluarga diarahkan berpindah susulan kejadian tanah runtuh di tebing Sungai Kelantan berhampiran Dataran Air Muleh, Kampung Jalan Pohon Celagi di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 10.30 malam kelmarin, susulan laporan terdapatnya retakan kecil pada jalan di kawasan kejadian.

“Kejadian runtuhan tanah itu secara besar-besaran berlaku sejak 2.30 pagi sehingga 6.30 pagi tadi (semalam).

“Kejadian itu menyebabkan runtuhan benteng tebing sungai sehingga sebuah rumuh runtuh dan lapan buah lagi rumah terjejas dan hampir runtuh di sepanjang runtuhan tanah itu, namun tiada mangsa terlibat tertimbus dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini, semalam.

Mohamad Roy Suhaimi berkata susulan kejadian itu 15 keluarga melibatkan 50 mangsa, diarahkan untuk berpindah dengan segera.

“Kita turut menutup kesemua laluan keluar masuk ke kampung itu, susulan pergerakan tanah yang masih tidak stabil dan bahaya,” katanya.

Seorang penduduk, Darohaimi Ahmad, 46, berkata beliau menyedari kejadian itu berlaku, selepas dia merasakan terdapatnya pergerakan tanah ketika tidur pada jam 5.30 pagi.

“Saya tidur tidak menggunakan katil, merasakan pergerakan tanah dan bunyi seperti ada benda berat ditarik, menyebabkan saya tersedar dan melihat keluar rumah terkejut runtuhan tanah itu telah menghampiri rumah saya.

“Ia pertama kali berlaku sepanjang saya tinggal di sini hampir 21 tahun bersama suami serta tiga orang anak berumur 14 sehingga 21 tahun,” katanya yang akan berpindah ke rumah keluarganya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir Datuk Hanifa Ahmad berkata, kejadian itu dipercayai berlaku susulan hakisan tebing sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.

“Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran keruntuhan tanah ini melibatkan kawasan sepanjang 100 meter dan perlu berjaga-jaga berikutan pergerakan (runtuhan) masih berlaku.

“Saya minta JPS membuat laporan segera bagi pembaikan dan saya minta wakil penduduk mengambil data kelurga yang terlibat, bagi membolehkan bantuan segera diberikan.

“Hanifa berkata beliau sendiri telah berhubung dengan menteri besar dan pihak majlis daerah bagi penempatan sementara mangsa terlibat. Mangsa terlibat akan dipindahkan ke dewan daerah Pasir Mas,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )