155 rakyat Thailand dibenar pulang

155 rakyat Thailand dibenar pulang

SATUN (Thailand), 30 Mac — Seramai 155 warga Thailand yang bekerja di Malaysia dan tidak dapat pulang ke negara mereka ekoran penutupan pintu sempadan, telah dibenarkan pulang, hari ini.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad ketika dihubungi berkata perjalanan warga Thailand ke pintu sempadan Wang Kelian mendapat kebenaran daripada Jabatan Imigresen Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Segala persiapan telah dibuat dan saya dimaklumkan bahawa pintu sempadan Wang Kelian dibuka hari ini bagi membawa masuk 155 warga Thailand (ke negara itu),” katanya.

Tinjauan Bernama di Pos Imigresen Wang Kelian di sempadan Malaysia mendapati 155 rakyat Thailand itu, yang terdiri daripada nelayan yang bekerja di Perak, tiba di situ pada pukul 6.20 petang.

Kerajaan Thailand mula membuka pintu masuk kira-kira 6.45 petang dan proses dokumentasi kedua-dua negara berjalan lancar.

Pihak berkuasa Thailand turut dilihat membuat saringan kesihatan terhadap semua rakyatnya itu sebelum dibenarkan melepasi pintu sempadan.

Sebelum ini, kerajaan Thailand telah menutup semua sembilan pintu sempadan dengan Malaysia sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan, dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Penutupan pintu sempadan itu turut dilaksana di semua pintu sempadan Thailand dengan negara-negara jiran yang lain seperti Laos, Kemboja dan Myanmar.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)