16 nelayan Vietnam ditahan APMM

KUALA TERENGGANU, 23 Jan — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan 16 nelayan Vietnam dan dua buah bot yang dinaiki mereka untuk menceroboh serta mengambil hasil laut di perairan Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata anggota APMM yang membuat rondaan menggunakan Kapal Maritim (KM) Langkawi berjaya menahan mereka pada jarak 93 dan 118 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu kira-kira pukul 4 petang, semalam.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot tersebut mendapati seramai 16 kru termasuk tekong berumur 18 hingga 62 tahun tidak mempunyai sebarang sebarang dokumen pengenalan yang sah serta tidak mempunyai lesen untuk memungut hasil laut di perairan negara.

Turut dirampas dua buah bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dan bekalan diesel yang mana jumlah keseluruhanya dianggarkan bernilai RM3 juta. Mereka juga disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Suffi berkata kesemua bot dan kru telah dibawa ke jeti Pusat Tahanan Vesel, Kuala Terengganu bagi proses penahanan dan ujian saringan COVID-19 dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“APMM akan terus melaksanakan rondaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah bermula sejak semalam di Terengganu bagi menjamin keselamatan perairan negara dan mencegah sebarang kesalahan di perairan negara,” katanya.

Beliau turut meminta masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku di perairan negara dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357.

— BERNAMA /Rahman

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )