
176 Warga Asing Ditahan dalam Operasi Imigresen di Bukit Bintang
22 Januari 2025, 11:45 malam, / KUALA LUMPUR: Sebanyak 176 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di kawasan Jalan Alor, Bukit Bintang, malam ini. Operasi yang bermula pada jam 7.15 malam itu melibatkan kerjasama strategik dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan aduan masyarakat dan hasil risikan pihak berkuasa.
Menurut Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, mereka yang ditahan terdiri daripada 71 warga Bangladesh, 60 warga Myanmar, 24 dari Indonesia, 16 warga Nepal, tiga warga Pakistan, serta masing-masing seorang dari Mesir dan Sudan.
“Operasi ini memberi tumpuan kepada mereka yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk tiada dokumen sah dan tinggal lebih masa. Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Beliau menambah, semua individu yang ditahan telah dihantar ke Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
Operasi ini melibatkan seramai 61 pegawai dan anggota JIM, dengan sokongan tambahan 30 petugas DBKL. Langkah ini merupakan usaha bersama untuk memastikan pematuhan undang-undang serta mengekang kehadiran pendatang tanpa izin di kawasan bandar utama.
“Pihak kami sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada masyarakat bagi membantu usaha membanteras pelanggaran undang-undang imigresen,” jelas beliau.