18,600 pelajar IPT dikecualikan bayaran ujian pengesanan COVID-19

18,600 pelajar IPT dikecualikan bayaran ujian pengesanan COVID-19

PUTRAJAYA,. Sejumlah 18,600 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung yang tergolong dalam tiga kategori ditetapkan, dikecualikan daripada dikenakan fi atau bayaran ujian pengesanan COVID-19.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba,. berkata, mereka adalah pelajar yang akan memulakan sesi pembelajaran fizikal dari Sarawak, Labuan dan Semenanjung ke Sabah; pelajar dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan; serta pelajar dari Semenanjung dan Labuan ke Sarawak.

Beliau berkata, pengecualian fi itu adalah untuk melakukan ujian tersebut di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bercakap pada majlis pelancaran buku bertajuk Impak COVID-19 Terhadap Insan, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara maya pada Khamis (4 Mac), Dr Adham menganggarkan kos terlibat ialah sebanyak RM2.79 juta.

Buku tersebut dihasilkan sekumpulan penyelidik dari Pusat Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, berdasarkan pengalaman mendepani Covid-19 serta penyelidikan saintifik.

Menurut Dr Adham, keputusan diambil selaras dengan usaha kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19, dengan mewajibkan semua pelajar tersebut menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan sesi pengajian.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, setakat ini, 80,336 individu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, majoritinya ialah petugas barisan hadapan yang disenaraikan dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang bermula pada 24 Feb lepas.

Menurut Dr Adham, kira-kira 271 juta penduduk dunia telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan Amerika Syarikat merekodkan jumlah tertinggi iaitu 80.5 juta penduduk, diikuti China 52.5 juta, Kesatuan Eropah (35.6 juta) dan United Kingdom (21.5 juta).

Menurutnya, Malaysia menduduki tangga ke-68 daripada jumlah keseluruhan negara yang telah dan sedang memberi suntikan vaksin Covid-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )