20,000 veteran belum berdaftar dengan JHEV ATM – Ismail Sabri

20,000 veteran belum berdaftar dengan JHEV ATM – Ismail Sabri

KUANTAN,. Kira-kira 20,000 warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kegagalan golongan veteran ini membuat pendaftaran menurut Ismail Sabri, menyukarkan pihak ATM untuk menghulurkan bantuan yang diperuntukkan kepada mereka.

“Justeru, saya telah minta persatuan veteran yang berada di setiap daerah mendapatkan golongan ini, kita nak tahu mereka masih ada atau sebaliknya. Setiap kali bantuan nak diberi itu masalahnya, kerana mereka tidak daftar dan kita tidak boleh nak sampaikan.

“Saya harap mereka ini daftar segera, antara faktor tidak mendaftar mungkin sebab duduk di luar bandar dan sebagainya, kami tidak ada maklumat mereka,” kata Menteri Pertahanan itu pada sidang media selepas menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia, kepada 295 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pahang.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Pertahanan turut memperuntukkan kuota sebanyak 30 peratus kepada anak termasuk cucu veteran ATM untuk belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) ATM Bera, dekat sini, dengan permohonan boleh dilakukan kini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata keputusan rentas negeri untuk Aidilfitri masih belum diputuskan dan segala keputusan dibuat bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), yang melakukan kajian terhadap kebolehjangkitan.

“Tunggu dulu, kita akan bincang lagi kerana kes di beberapa negeri diisytihar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masih tidak banyak berubah antaranya di Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang. Jika KKM kata stabil dan boleh rentas, kebenaran akan diberikan.

“Sama juga mengenai cadangan yang membolehkan penerima dua dos vaksin boleh rentas negeri, kita belum putuskan dan akan bincang,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dilaporkan media seolah-olah memberi bayangan akan meninggalkan MN, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, segala isu mengenai PAS dan UMNO akan dibincangkan dalam mesyuarat Muafakat Nasional (MN).

“Kita akan bincang pelbagai isu melalui mesyuarat yang diadakan dua minggu sekali, lepas itu boleh buat kenyataan, kadang-kadang kita pun tidak tahu mungkin beliau cakap lain tapi dalam segi penulisan berbeza dengan apa dikatakan,” katanya.

Media melaporkan Abdul Hadi memberi bayangan akan meninggalkan MN, kerana mendakwa ia sudah menyeleweng dari matlamat asas dan meminta semua menyertai Perikatan Nasional.

Terdahulu Ismail Sabri dalam ucapannya berkata, setakat ini seramai 28,971 warga veteran telah menerima Pingat Jasa Malaysia, manakala veteran yang layak dan belum lagi dianugerahkan akan dijadualkan menerimanya pada masa akan datang. — Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)