Dr Mahathir sertai pemimpin dunia pada sidang kemuncak NAM

Dr Mahathir sertai pemimpin dunia pada sidang kemuncak NAM

BAKU,. Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka berkongsi pandangan mengenai kepentingan Pergerakan Negara-Negera Berkecuali (NAM) berdiri teguh dalam bekerjasama menangani cabaran dunia globalisasi apabila menyertai pemimpin-pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak NAM ke-18 di sini.

“Perdana Menteri juga dijangka menegaskan pentingnya pergerakan itu berpegang kepada dasar berkecuali serta menghormati prinsip asas penubuhan NAM yang termaktub dalam Prinsip Bandung,” kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah kepada media Malaysia di sini, Rabu.

Menurutnya, ia adalah tepat pada masanya kerana Dr Mahathir telah menghantar mesej tegas pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, bulan lalu, bahawa ancaman terbesar kepada multilateralisme adalah unilateralisme yang berlaku apabila negara-negara berkuasa memilih untuk melakukan perkara mengikut cara mereka sendiri.

NAM mempunyai konsep asas yang berasal daripada Persidangan Asia-Afrika – juga dikenali sebagai Persidangan Bandung yang diadakan di Indonesia pada 1955, yang menjadi landasan pembentukan pergerakan itu.

Antara lain, NAM memperjuangkan rasa hormat terhadap kedaulatan dan integriti wilayah semua negara, mengiktiraf kesaksamaan dalam kalangan semua bangsa dan semua negara serta tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

Pergerakan itu bermula dengan 25 negara anggota pada 1961 dan kini berkembang menjadi 120 negara anggota, 17 negara pemerhati dan 10 organisasi pemerhati, sekali gus menjadi forum multilateral kedua terbesar selepas PBB.

Saifuddin berkata Dr Mahathir dijangka tiba di ibu negara Azerbaijan pada Khamis untuk sidang kemuncak dua hari bermula Jumaat ini.

Beliau berkata Dr Mahathir akan diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan pegawai kanan kerajaan ke Sidang Kemuncak Baku di mana 17 Ketua-Ketua Negara dan lima Perdana Menteri dijadual hadir.

“Ini akan merupakan penampilan pertama Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Ketujuh Malaysia pada Sidang Kemuncak NAM ini,” katanya.

Malah, beliau berkata, kali terakhir perdana menteri Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak NAM ialah pada 2009 apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri sidang edisi ke-15 di Mesir.

Saifuddin berkata tema sidang kemuncak ke-18 kali ini iaitu “ Berpegang Kepada Prinsip Bandung” bagi memastikan tindak balas bersama dan mencukupi terhadap cabaran dunia semasa.

“Kita anggap tema ini sangat bertepatan dengan perkembangan politik dan ekonomi semasa. Sekurang-kurangnya dalam keadaan negara-negara anggota NAM sudah timbul kerisauan sekiranya NAM melencong daripada objektif asal,” tambah beliau.

Pada sidang kemuncak ini, Azerbaijan, negara merdeka bekas jajahan Kesatuan Soviet, mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi NAM di bawah Presiden Ilham Aliyev bagi tempoh tiga tahun akan datang daripada Venezuela.

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya di luar sidang kemuncak itu bagi membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama.

“Perjumpaan tersebut dijangka mengeratkan hubungan dua hala dengan negara-negara berkenaan serta mengukuhkan persefahaman mengenai isu-isu serantau dan global,” kata Saifuddin, sambil menambah penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak itu adalah penting kerana ia mencerminkan komitmen berterusan negara terhadap pergerakan itu.

Ia juga membolehkan Malaysia dan negara-negara membangun lain mempunyai suara yang bersatu dalam pelbagai isu global dan serantau, katanya.

Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak NAM ke-13 pada 2003 iaitu lebih 16 tahun lalu ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri keempat pada masa itu.

— BERNAMA

Laporan Eksklusif Oleh D. Arul Rajoo

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )