
26 laporan diterima berkaitan skim pelaburan diketuai rakyat Malaysia ditahan di Thailand – KPN
KUALA LUMPUR,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 26 laporan berkaitan skim pelaburan Nicshare dan CommonApps dikaitkan dengan sindiket penipuan diketuai rakyat negara ini yang ditahan pihak berkuasa Thailand pada 16 Dis lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kerugian melibatkan skim pelaburan Nicshare adalah sebanyak RM8,212,758.29 melibatkan 24 laporan manakala dua laporan berkaitan Commonapps membabitkan kerugian berjumlah RM340,079.
“Siasatan terhadap semua laporan ini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata sehingga kini beberapa suspek dan entiti berjaya dituduh dan siasatan terhadap skim berkenaan masih berjalan termasuk kaitan antara rakyat negara ini yang ditahan oleh pihak berkuasa Thailand.
Semalam, media melaporkan Polis Thailand percaya mereka telah membanteras sindiket penipuan utama yang melakukan pengubahan wang haram lebih 5 bilion baht (100 baht = RM13.02) melalui rangkaian transaksi palsu, susulan penahanan seorang ketua kumpulan rakyat Malaysia dan isterinya yang merupakan warga Thailand.
Lelaki Malaysia berusia 38 tahun itu, yang dikehendaki di bawah waran dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah, ditahan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao di wilayah Songkhla ketika memasuki Thailand pada 16 Dis dan isterinya dari Thailand, yang juga terlibat dalam skim itu, ditangkap di lokasi berbeza pada 18 Dis.
Tangkapan itu berikutan aduan daripada ramai mangsa yang diperdaya untuk melabur melalui aplikasi mudah alih palsu, termasuk Nicshare dan CommonApps, yang aplikasi berkenaan secara palsu menjanjikan pulangan tinggi daripada pelaburan pasaran saham.
–BERNAMA