27 korban kebakaran di New Dehli, India

27 korban kebakaran di New Dehli, India

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 27 orang maut dan beberapa lagi tercedera dalam kebakaran besar di sebuah bangunan di ibu kota India, New Delhi kelmarin, menurut perkhidmatan kecemasan. ebakaran besar meletus di sebuah bangunan komersial setinggi empat tingkat di barat Delhi pada lewat tengah hari, namun puncanya masih belum jelas.

“Dua puluh mayat rentung telah dikeluarkan dari bangunan itu dan hampir 24 orang tercedera sedang menjalani rawatan,” Satpal Bharadwaj, yang bertanggungjawab ke atas operasi Perkhidmatan Bomba Delhi di tempat kejadian, memberitahu AFP.

Bharadwaj menyatakan terdapat kira-kira 70 orang di dalam bangunan ketika kebakaran itu berlaku. “Tidak ada pintu kecemasan dan hampir semua orang yang maut disebabkan oleh lemas,” kata beliau, sambil menambah bahawa lebih banyak akan diketahui selepas bedah siasat dapat dilakukan.

Pihak berkuasa menyatakan “hampir 24 orang” tercedera dan menjalani rawatan, namun sebelum itu timbalan ketua bomba Sunil Choudhary memberitahu AFP bahawa jumlah mangsa yang tercedera seramai “lebih 25 orang”.

Choudhary menambah bahawa sebahagian daripada mereka telah melompat keluar dari bangunan yang terbakar. Sementara itu, syarikat penyiaran NDTV, melaporkan lebih 40 orang telah mengalami melecur dan dimasukkan ke hospital.

Sementara Bharadwaj berkata puncanya masih belum diketahui, beliau menyatakan bangunan itu telah digunakan sebagai “pejabat dan tempat simpanan untuk bahan pembuatan kertas.” NDTV memetik pegawai polis Sameer Sharma berkata, bangunan itu menempatkan pejabat bagi sebuah syarikat pengeluaran kamera keselamatan dan penghala.

Beberapa pegawai menyatakan mereka mempercayai angka kematian mungkin meningkat. Lebih 30 jentera bomba telah berada di tempat kejadian, bersama dengan beberapa ambulans.
Amit Mahajan, yang sepupu dan anak saudara lelakinya hilang selepas kebakaran, memberitahu wartawan bahawa mereka telah berada di bangunan itu untuk “melatih pekerja”.

“Saya telah melawat semua hospital berhampiran namun gagal untuk mengesan mereka. Kami tidak pasti mengenai keselamatan atau di mana mereka berada,” katanya. Kebakaran adalah biasa berlaku di India disebabkan oleh amalan pembinaan bangunan yang kurang baik, terlalu padat dan kekurangan pematuhan peraturan keselamatan.

Seorang anggota polis memberitahu AFP dengan syarat dirahsiakan identitinya bahawa salah seorang pemilik pejabat telah ditahan untuk disoal siasat. Pegawai itu tidak dapat menjelaskan sebab bagi penahanannya namun menyatakan lebih banyak tangkapan susulan akan dilakukan.

Ibu kota India dengan seramai 20 juta penduduk itu sedang berdepan dengan gelombang haba, dengan suhu yang mencecah sehingga 46 darjah Celsius (115 Fahrenheit) telah direkodkan di beberapa kawasan.

Pada bulan lepas, gelombang haba menyebabkan sebuah tempat pembuangan sampah yang besar terbakar. Ia marak selama beberapa hari, menambah lagi pencemaran udara berbahaya di bandar besar tersebut.

Perdana Menteri Narendra Modi menerusi Twitter menyampaikan ucapan takziahnya kepada mangsa kebakaran.

“Sangat menyedihkan dengan kehilangan nyawa akibat satu kebakaran tragik di Delhi. Ingatan saya bersama dengan keluarga yang terjejas. Saya mendoakan semoga mangsa yang tercedera cepat sembuh,” kata Modi.

“Berasa terkejut dengan bencana kebakaran tragik ini… Ucapan takziah saya buat keluarga yang terlibat. Saya mendoakan penyembuhan yang cepat bagi mangsa tercedera,” menurut ciapan dari pejabat Presiden Ram Nath Kovind.

Ketua Menteri Delhi Arvind Kejriwal menghantar ciapan: “Terkejut dan berasa sangat sedih ketika mengetahui tentang insiden tragik ini. Saya sering berhubung dengan pihak berkuasa. Anggota bomba kita yang berani sedang mencuba sedaya upaya untuk mengawal kebakaran dan menyelamatkan nyawa.”

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )