27 tukang jahit lelaki warga asing ditahan

KUALA LUMPUR,. Seramai 27 tukang jahit lelaki warga Bangladesh dan Nepal ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen di premis tiga tingkat di Seksyen 7, Shah Alam, dekat sini petang semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata kesemua mereka yang ditahan pada jam 4 petang itu berusia lingkungan 22 hingga 45 tahun terdiri daripada 26 warga Bangladesh dan seorang warga Nepal.

“Semasa serbuan dilakukan, warga asing ini tidak menyedari kehadiran pegawai imigresen dan tidak sempat untuk melarikan diri.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata hasil pemantauan pihaknya mendapati kesemua warga asing itu akan memasuki premis untuk bekerja dan mereka hanya akan keluar dari premis setelah selesai bekerja.

Menurut beliau terdapat premis perniagaan yang terkenal melakukan cubaan untuk melindungi warga asing dengan menipu anggota operasi bahawa tiada warga asing yang bekerja, selain turut melakukan ubah suai bangunan dengan membuat laluan sukar dikesan.

“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara dan diusir,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )