280 institusi TVET tawar latihan kemahiran di Ekspo TVET@KKDW 2023

280 institusi TVET tawar latihan kemahiran di Ekspo TVET@KKDW 2023

PUTRAJAYA,. Sebanyak 280 institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang menyertai Ekspo TVET@KKDW 2023 di Bertam Square, Kepala Batas, Pulau Pinang bersedia menawarkan pelbagai program, kursus dan latihan kemahiran kepada pengunjung yang meminati aspek kemahiran.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata turut diadakan pada ekspo bertemakan ‘Pilihan Kemahiran Anda’ yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok (14 Julai) sehingga Ahad itu adalah pameran oleh rakan strategik industri, demontrasi kemahiran, pertandingan E-Sports, dan seminar kerjaya.

Bercakap kepada Bernama dalam satu temu bual, Rubiah berkata terdapat juga pelbagai peluang pekerjaan ditawarkan secara terus menerusi temu duga oleh pemain industri dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“KKDW menyasarkan kehadiran pengunjung sepanjang Ekspo TVET@KKDW 2023 ini berlangsung adalah seramai 300,000 orang iaitu 100,000 secara fizikal dan 200,000 secara maya, selaras dengan penunjuk prestasi KKDW yang ditetapkan,” katanya.

Rubiah berkata penganjuran ekspo berkenaan antara lain bertujuan untuk mempromosikan program dan peluang latihan kemahiran yang disediakan, selain memberi peluang kepada masyarakat khususnya belia di luar bandar untuk berinteraksi terus dengan agensi dan institusi TVET di bawah KKDW.

“Program TVET di KKDW ternyata mampu melahirkan belia luar bandar yang kompeten dan berdaya saing melalui program TVET, pelajar lepasan yang berkemahiran dan mempunyai peluang cerah dalam kehidupan,” katanya.

Menurutnya, kebolehpasaran lepasan TVET, yang diambil kira dalam aspek melanjutkan pengajian, menjadi usahawan atau bekerja dengan majikan dalam tempoh enam bulan selepas graduasi bagi institusi pendidikan TVET KKDW, adalah tinggi iaitu mencapai purata 91.42 peratus mengikut data sehingga 31 Mac lepas.

“Adalah diharapkan ekspo tersebut mempelbagaikan bentuk promosi dan penjenamaan untuk pendidikan dan latihan kemahiran di peringkat nasional dalam mengarusperdanakan bidang TVET sebagai pilihan pendidikan dan kerjaya di masa hadapan untuk para belia khususnya di luar bandar,” katanya.

Ekspo berkenaan dapat diikuti secara dalam talian menerusi portal Ekspo TVET@KKDW 2023 di https://ekspotvet.rurallink.gov.my/ dan media sosial rasmi KKDW seperti Facebook (https://www.facebook.com/KKDWofficial), Instagram (KKDW_gov), Twitter (KKDW_gov), Youtube (KKDW_GOV official) danTik Tok (#KKDW).

Berlangsung serentak ketika eskpo berkenaan ialah pelancaran Program Sentuhan Kasih Desa edisi Pulau Pinang, katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This