30 pengamal media antarabangsa sertai program musim panas di Malaysia

30 pengamal media antarabangsa sertai program musim panas di Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 Sept — Sejumlah 30 pengamal media antarabangsa dari 11 negara kini berada di Malaysia untuk menyertai Program Pengenalan Mega Malaysia (Mega Fam) yang bertemakan “Its Summertime in Malaysia – Let’s go to the Beach Visit Malaysia 2020 Edition” dari 2 hingga 8 Sept, ini.

Kumpulan itu terdiri daripada peserta dari Australia, Kemboja, China, Hong Kong, India, Itali, Jepun, New Zealand, Taiwan, Singapura, Vietnam dan juga peserta dari Malaysia akan merasai sendiri pengalaman tarikan akuatik dan pantai-pantai selain daripada produk pelancongan lain seperti kebudayaan, warisan dan eko kembara.

Tourism Malaysia dalam satu kenyataan hari ini program itu dirangka sebagai sebahagian daripada usaha untuk melonjakkan promosi kempen Melawat Malaysia 2020, yang menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong antarabangsa dan menjana pendapatan sebanyak RM100 bilion menerusi pelancongan.

Semasa program itu, peserta akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan tiga destinasi berbeza, iaitu Perak/Pulau Pinang, Terengganu dan Sabah untuk mewujudkan kesedaran mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam menerusi aktiviti di pulau-pulau.

Selain daripada destinasi pulau dan pantai yang ditetapkan, peserta juga akan berpeluang untuk melawat beberapa tempat ikonik sekitar Kuala Lumpur seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka.

Mereka juga akan pergi ke tempat-tempat lain di Malaysia seperti Putrajaya dan Melaka, Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu, kata kenyataan itu.

Tourism Malaysia bekerjasama dengan beberapa pihak swasta seperti Golden Sands Resort Penang oleh Shangri-La, KL Hop-On Hop-Off, Penang Global Tourism, Jabatan Pelancongan Terengganu juga Malaysia Airlines bagi menjayakan kempen ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )