31 orang awam terbunuh dalam serangan udara di Yaman

31 orang awam terbunuh dalam serangan udara di Yaman

DUBAI,. Sekurang-kurangnya 31 orang awam terbunuh dalam serangan di Yaman, semalam, kata Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), susulan operasi diketuai Arab Saudi bagi membalas dendam, atas nahas membabitkan jet pejuang milik mereka yang didakwa ditembak jatuh oleh pemberontak Huthi.

Pesawat Tornado itu terhempas Jumaat lalu di utara wilayah Al Jawf dalam operasi membantu pasukan kerajaan, satu insiden yang jarang berlaku dan memaksa misi menggempur pasukan pemberontak dilakukan gabungan tentera diketuai Arab Saudi.

Serangan berkenaan adalah lanjutan daripada pertempuran di utara Yaman antara kedua pihak yang saling bertelagah, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di negara terbabit.

“Laporan awal menunjukkan bahawa sehingga 31 orang awam terbunuh pada 15 Februari dan 12 lagi cedera dalam serangan ke atas kawasan Al Hayjah di wilayah Al Jawf,” kata kenyataan daripada pejabat penyelaras kemanusiaan PBB untuk Yaman.

Penyelaras Kemanusiaan PBB di Yaman, Lise Grande menyelar serangan dahsyat itu.

“Terlalu ramai orang terbunuh di Yaman. Ia adalah tragedi dan berlaku tanpa sebarang sebab.

“Di bawah undang-undang kemanusiaan, pihak berwajib perlu melindungi orang awam. Lima tahun konflik ini sudah berlaku dan mereka masih gagal menunaikan tanggungjawab itu. Ia amat mengejutkan,” katanya.

Menurut stesen televisyen milik pemberontak, Al Masirah, beberapa serangan udara dilakukan di lokasi jet berkenaan terhempas.

Stesen itu melaporkan, antara yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)