Pemimpin ASEAN, Korea Selatan rangka kerjasama masa depan pada Sidang Kemuncak Peringatan

Pemimpin ASEAN, Korea Selatan rangka kerjasama masa depan pada Sidang Kemuncak Peringatan

BUSAN (Korea Selatan),. Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019 akan menjadi platform untuk mengukuhkan dan merangka kerjasama masa depan antara ASEAN dan Korea Selatan dalam bidang keselamatan politik, ekonomi dan sosio-budaya untuk tempoh 30 tahun akan datang.

Duta Besar Malaysia di Korea Selatan, Datuk Mohd Ashri Muda berkata sidang kemuncak itu, yang akan diadakan pada 25-26 Nov, juga akan memberi peluang kepada pemimpin negara-negara berkenaan untuk mengkaji hubungan antara ASEAN dan Korea Selatan dalam tempoh 30 tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita hari ini, katanya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin ASEAN juga akan mempunyai peluang untuk berkongsi pandangan mereka mengenai keadaan di Semenanjung Korea dan bertukar-tukar pendapat dalam menangani isu itu.

“Walaupun isu ini jauh dari kawasan ASEAN, tetapi pihak Korea Selatan memandang tinggi akan keikhlasan pemimpin-pemimpin ASEAN dan usaha mereka mencari perdamaian di Semenanjung Korea,” katanya.

Dr Mahathir, yang akan mengetuai delegasi Malaysia, dijadual tiba di Busan esok, diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Perdana Menteri akan disertai oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Darell Leiking dan pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, Wisma Putra dan MITI.

Dengan slogan “Partnership for Peace, Prosperity for People”, sidang kemuncak itu memperingati ulang tahun ke-30 hubungan dialog ASEAN-Korea Selatan dan kesinambungan Dasar Selatan Baharu Presiden Korea Selatan Moon Jae-in.

Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Mohd Ashri Muda

Acara tahun ini akan menandakan sidang kemuncak peringatan ketiga Korea Selatan, telah menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak sebelum ini di Jeju (2009) dan Busan (2014).

Pada acara itu, para pemimpin dijangka menerima pakai ASEAN–South Korea 30th Anniversary Vision Statement for Peace, Prosperity and Partnership, dan kenyataan bersama pengerusi oleh Thailand dan Korea Selatan yang akan turut dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak itu.

Pada 2018, nilai perdagangan Korea Selatan dengan rantau ASEAN berjumlah US$160 bilion — US$100 bilion dalam eksport dan US$60 bilion dalam import, sekali gus menjadikan rantau ini sebagai rakan dagang kedua terbesar negara itu.

Empat rakan dagang utama Korea Selatan yang lain ialah China, Amerika Syarikat, Jepun dan Rusia.

Pada sidang kemuncak itu, Dr Mahathir akan menyertai sesi dialog anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Korea (KCCI) bertemakan “New Partnership for the Co-Prosperity of Korea and ASEAN Businesses” — acara sampingan bertujuan menggalakkan kerjasama perniagaan serantau dalam kalangan usahawan.

Beliau turut dijadualkan melawat Pavilion Malaysia di INVEST ASEAN Exhibition, Sidang Kemuncak Pemula Niaga ASEAN-Korea Selatan dan Pameran Inovasi ASEAN-Korea Selatan.

Semasa di Busan, Perdana Menteri akan turut mengambil peluang untuk melawat Korea Aerospace Industry (KAI) dan Hyundai Rotem Changwon Factory.

Selepas sidang kemuncak itu, Dr Mahathir akan mengadakan lawatan rasmi ke Seoul dari 27 hingga 28 Nov — lawatan rasmi pertama beliau ke Korea Selatan sejak mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri Ke-7 Malaysia pada Mei 2018.

Sementara itu, Dr. Siti Hasmah akan menyertai program isteri-isteri ketua kerajaan dan negara, yang termasuk lawatan ke K-Beauty Festival dan majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Jung-sook.

— BERNAMA

Daripada Noor Soraya Mohammad Jamal

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )