4 maut kemalangan di LPT: ‘Tak tahu mak, ayah dalam perjalanan ke Kuala Terengganu’ – Anak

4 maut kemalangan di LPT: ‘Tak tahu mak, ayah dalam perjalanan ke Kuala Terengganu’ – Anak

TEMERLOH: “Tidak semua yang tahu mak dan ayah, termasuk ahli keluarga yang lain nak bercuti ke Kuala Terengganu. Malah, tiada update pun dalam group WhatsApp keluarga.”

Itu luahan anak ketiga pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan mengorbankan empat nyawa, membabitkan empat kenderaan di KM135.7 LPT 1 berdekatan susur keluar Chenor, pagi Sabtu.

Azrilina Mohamad, 44 berkata, mereka hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 6 pagi, selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarga terdekat.

Pasangan Mohamed Samsudin, 75, dan Kamariah Hamzah, 72, antara empat orang yang terkorban dalam nahas itu, selain Muhammad Danial Danish Mohd Ali, 14, yang merupakan anak saudara Azrilina.

“Majoriti ahli keluarga tak tahupun mereka mahu ke Kuala Terengganu. Tak tahu juga bila mereka bergerak ke sana.

“Kesemuanya ada 11 orang dalam kereta Proton Exora. Yang lain cedera, ada juga yang kritikal termasuk anak-anak masih kecil,” katanya.

Difahamkan, ahli keluarga mangsa dari Taman Melawati, Kuala Lumpur bergegas ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

Bapa kepada Muhammad Danial Danish, Mohd Ali Mohd Amin, 45 kelihatan tidak bermaya selepas selesai urusan pengecaman mayat.

Sementara itu, cucu mangsa, Muhammad Danial Haziq Erwandi, 20 memberitahu, dia terkejut mendengar berita itu dan segera menghubungi neneknya, namun panggilan dijawab orang lain.

“Saya memang dari kecil tinggal dengan wan (nenek) dan atuk. Jadi, bila dengar mereka dah ‘tiada’ saya tak percaya.

“Saya sedih, tak boleh nak fikir apa. Sebelum mereka bergerak ke Kuala Terengganu, saya tak sempat nak salam sebab tiada di rumah.

“Dalam Proton Exora tu, ada Mak Cu dan Pak Cu bersama empat orang anaknya, Mak Teh bersama dua anaknya termasuk Muhammad Danial Danish, serta wan dan atuk,” katanya.

Ujarnya lagi, mereka yang menaiki kereta Proton Waja pula adalah ahli keluarga bapa saudaranya, yang dikenali sebagai Pak Cu.

Difahamkan, jenazah ketiga-tiga mangsa akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk kebumikan di Klang Gate, sejurus urusan bedah siasat selesai.

Kejadian jam 3.10 pagi itu, dipercayai berlaku apabila sebuah lori kontena hilang kawalan lalu melanggar tiga kenderaan iaitu Proton Exora, Proton Waja dan trak tunda yang berada di lorong kecemasan.

Identiti empat mangsa maut dalam kemalangan itu dikenal pasti sebagai pemandu trak tunda, Mohd Azuan Zainal Abidin, 53, selain penumpang Proton Exora Mohamed dan Kamariah, serta Muhammad Danial Danish.

sumber – Azee Shafy

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )