48 individu ingkar arahan PKPP ditahan semalam – Ismail Sabri

48 individu ingkar arahan PKPP ditahan semalam – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengetuai Task Force Operasi Pematuhan telah menahan 48 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 40 individu telah direman dan lapan lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti refleksologi atau urut (10 orang) dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial (38 orang),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semalam 67,004 pemeriksaan dilakukan pasukan itu bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Selain itu, katanya, 3,744 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan yang melibatkan seramai 16,675 anggota.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PDRM menahan 10 warga asing atas kesalahan imigresen daripada 69 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan telah memeriksa 34,275 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI).

“Operasi Benteng yang melibatkan ATM (Angkatan Tentera Malaysia), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Mengenai operasi sanitasi awam COVID-19, beliau berkata sebanyak 70 operasi sanitasi meliputi 43 zon di 11 buah negeri antaranya Sarawak (19 operasi), Melaka (14 operasi) dan Sabah (10 operasi) dijalankan dalam Ops Sanitasi Awam semalam.

Selain itu, katanya, seramai 281 rakyat Malaysia telah pulang ke negara semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu, China, Brunei, Pakistan, Vietnam dan Hong Kong.

Menurut Ismail Sabri, daripada jumlah itu 278 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala tiga lagi dibawa ke hospital.

Beliau turut memaklumkan, bermula 10 sehingga 18 Jun, Kementerian Kesihatan telah membuat saringan ke atas 6,719 individu di seluruh pintu masuk negara.

“Daripada jumlah itu, 6,696 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

“Dua puluh dua individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala satu individu lagi masih menunggu keputusan saringan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 2,287 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP.

Ismail Sabri berkata pemeriksaan itu mendapati 2,247 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan 36 premis telah diberi nasihat, manakala empat premis diberi amaran atas ketidakpatuhan SOP.

Dalam pada itu katanya, pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia CIDB semalam mendapati 56 tapak binaan mematuhi SOP yang ditetapkan, manakala dua tapak binaan gagal berbuat demikian dan diberi amaran, sementara 15 tapak binaan tidak beroperasi.

“Jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,173 tapak binaan dan 419 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran. Penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)