
50 maut dalam kebakaran di Kuwait, kebanyakan pekerja India: Menteri
BANDAR KUWAIT: Kebanyakan mangsa dalam kebakaran di sebuah bangunan yang menempatkan pekerja asing berasal dari India, kata menteri luar negara Kuwait kelmarin, meningkatkan angka kematian kepada 50 orang.
Tiga rakyat Filipina adalah antara yang terkorban, menurut pegawai Filipina, selepas kebakaran menyebabkan asap hitam berkepul keluar dari bangunan enam tingkat di selatan bandar Kuwait.
Sebahagian besar daripada populasi seramai empat juta lebih di Kuwait yang kaya dengan minyak meliputi rakyat asing, kebanyakan mereka dari Asia Selatan dan Tenggara yang bekerja dalam industri pembinaan dan perkhidmatan.
Beberapa orang lagi tercedera dalam kebakaran di Mangaf, selatan Bandar Kuwait, yang berlaku sekitar subuh pada Rabu di tingkat bawah blok yang menempatkan hampir 200 pekerja.
“Salah seorang yang tercedera telah meninggal dunia semalaman,” Menteri Luar Negara Abdullah Al-Yahya memberitahu wartawan, selepas 49 orang disahkan meninggal dunia pada Rabu.
“Majoriti orang yang maut adalah rakyat India,” katanya. “Terdapat rakyat negara lain namun saya tidak ingat.”
Perdana Menteri India Narendra Modi dalam hantaran di platform X pada lewat Rabu berkata “negara sedang melakukan segala yang mungkin untuk membantu mereka yang terjejas akibat tragedi kebakaran ngeri ini”.
Waris terdekat akan menerima pampasan berjumlah 200,000 rupee (AS$2,400), umum pejabat Modi.
Timbalan menteri luar negara India Kirti Vardhan Singh, yang telah tiba untuk membantu mangsa yang terselamat dan menghantar pulang mayat dengan pesawat tentera udara India, berkata ujian DNA telah diperlukan untuk mengenal pasti sebahagian daripada mangsa.
“Sebahagian daripada mayat sudah rentung sehingga sukar untuk mengenal pasti mangsa,” beliau memberitahu media India.
Di Manila, Jabatan Pekerja Asing berkata tiga rakyat Filipina meninggal dunia akibat terhidu asap. Dua orang dalam keadaan kritikal sementara enam lagi terselamat tanpa sebarang kecederaan.
“Kami telah berhubung dengan keluarga semua pekerja terbabit, termasuk keluarga dua orang yang dalam keadaan kritikal dan tiga orang yang meninggal dunia,” kata Setiausaha Pekerja Asing Hans Leo J. Cacdac dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa Kuwait telah menahan pemilik bangunan atas kemungkinan kecuaian dan memberikan amaran bahawa mana-mana bangunan yang melanggar peraturan keselamatan akan ditutup.
— Agensi