500 keluarga kumpulan B40 dapat manfaat pasar percuma

500 keluarga kumpulan B40 dapat manfaat pasar percuma

KUALA LUMPUR,. Kira-kira 500 keluarga daripada kumpulan berpendapatan rendah atau B40 di Damansara Damai, di sini, hari ini berpeluang membawa pulang pelbagai jenis barangan terpakai secara percuma dalam program ‘Pasar Percuma’ yang dianjurkan oleh Petronas Gas Berhad (PGB).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Kamal Bahrin Ahmad berkata pasar itu yang dianjurkan bagi meringankan beban golongan B40 dengan menyediakan barangan terpakai terdiri daripada pakaian, buku dan barang mainan, merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

“Kami seronok inisiatif ini telah dapat memberi manfaat kepada banyak keluarga sejak ia diperkenalkan lima tahun lepas. Syarikat sangat gembira dapat memberi sumbangan kecil tetapi dengan cara yang unik ini kepada keluarga yang memerlukan dan berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Program kali kelima yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Undang-undang Petronas ini berkonsepkan seperti pasar lambak namun barangan yang diberikan adalah percuma kepada mereka yang memerlukan.

Pada program itu juga Badan Kebajikan Kakitangan Islam Petronas (BAKIP) turut mengagihkan wang tunai RM100 setiap seorang kepada 500 orang kanak-kanak bagi membantu meringan beban ibu bapa mereka menyediakan keperluan persekolahan untuk penggal akan datang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )