55 peniaga Pasar Datuk Keramat terima bantuan MEDAC berjumlah RM82,500

55 peniaga Pasar Datuk Keramat terima bantuan MEDAC berjumlah RM82,500

KUALA LUMPUR,. Seramai 55 peniaga yang terlibat dalam insiden kebakaran Pasar Datuk Keramat di sini, pada 17 Mac lepas menerima sumbangan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) semalam.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sumbangan berjumlah RM82,500 itu bertujuan membantu mereka yang hilang mata pencarian selain meringankan beban mereka dan keluarga yang masih bergelut untuk bangkit daripada pandemik COVID-19.

“… kita pun berasa sedih, tidak lama lagi kita akan me-nyambut Ramadan dan kebakaran ini berlaku, ini telah ditakdirkan dan tidak boleh kita hilangkan (elakkan).

“Bagaimanapun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil tindakan meroboh dan membina tempat perniagaan sementara untuk Ramadan supaya mereka boleh berniaga dengan seberapa cepat yang boleh,” katanya selepas majlis penyerahan sumba-ngan itu di sini semalam.

Sumbangan itu disampaikan Wan Junaidi kepada Yang Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Datuk Mohamad Abdullah sebagai wakil peniaga selepas membuat tinjauan di tempat kejadian.

Wan Junaidi berkata, agensi di bawah MEDAC seperti SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Bank Rakyat dan SME Bank akan melihat keperluan bagi membantu mangsa membangunkan semula perniagaan mereka.

“Mereka juga boleh berhubung terus dengan pihak agensi bagi mendapatkan bantuan diperlukan,” katanya.

Pada 17 Mac lepas, lebih 40 kedai di Pasar Datuk Keramat dilaporkan terbakar, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)