60 pelajar zon utara pulang ke Lembah Klang esok

60 pelajar zon utara pulang ke Lembah Klang esok

ALOR SETAR,. Hanya 60 pelajar universiti awam di zon utara akan dibenarkan pulang ke Lembah Klang esok mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, berkata kumpulan pelajar itu adalah bagi perjalanan fasa pertama ke Lembah Klang sebelum diikuti perjalanan fasa kedua ke destinasi sama pada 12 Mei ini.

Katanya, setiap pelajar hanya dibenarkan pulang ke destinasi zon hijau sahaja dan surat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis sedang diuruskan pihaknya.

“Kita juga akan mendapatkan bantuan Pusat Kesihatan UUM bagi memastikan perjalanan pelajar ke zon hijau di Lembah Klang mengikut SOP ditetapkan.

“Secara keseluruhan terdapat kira-kira 3,000 pelajar di zon utara yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Bashawir, berkata kesemua pergerakan ini membabitkan bas kecuali terdapat kelonggaran untuk pelajar memandu kereta sendiri untuk pulang ke destinasi membabitkan kawasan dalam negeri ini bermula Rabu ini.

“Bagaimanapun pelajar terbabit perlu mendapatkan kelulusan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terlebih dahulu sebelum memulakan pergerakan.

“Ibu bapa juga tidak akan dibenarkan menjemput anak mereka di universiti,” katanya.

Semalam, Ahmad Bashawir memaklumkan pihaknya dilantik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi merancang, menyelaras dan mengurus penghantaran pulang semua pelajar universiti awam di zon utara.

Katanya, pergerakan pulang pelajar ke Kedah, Perlis dan Pulau Pinang akan dibuat pada 29 April sebelum pelajar berasal dari negeri Pantai Timur bergerak pulang pada 2 Mei ini.

Manakala pergerakan pelajar pulang ke Perak akan dibuat pada 5 Mei dan bagi pelajar ke Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pula akan bergerak pada 9 Mei.

Bagi pelajar Sabah dan Sarawak, mereka dijangka bergerak pulang pada awal Mei ini, namun tarikhnya akan ditetapkan kemudian oleh KPT.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )