61 lagi korban COVID-19, rekod tertinggi sejak penularan wabak – KP Kesihatan

61 lagi korban COVID-19, rekod tertinggi sejak penularan wabak – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR: Angka kematian akibat COVID-19 terus melonjak dalam tempoh 24 jam lepas dengan 61 kes dilaporkan, menjadi jumlah kes maut harian tertinggi pernah direkodkan sejak penularan wabak itu di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemua kes kematian itu melibatkan rakyat tempatan berusia antara 27 hingga 98 tahun dengan majoritinya menghidap penyakit kronik, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan maut akibat wabak itu kini 2,309 kes.

Jelasnya, kawasan Lembah Klang mencatatkan jumlah korban paling ramai dengan 21 kes iaitu 16 di Selangor dan lima di Kuala Lumpur, manakala 11 di Johor dan masing-masing enam di Melaka dan Pulau Pinang.

“Empat lagi kes di Kedah, masing-masing tiga di Sarawak, Negeri Sembilan, dan Pahang, manakala dua di Terengganu serta masing-masing satu kes di Perak dan Labuan,” katanya dalam kenyataan mengenai penularan COVID-19, hari ini.

Terdahulu menerusi Twitter, Dr Noor Hisham memaklumkan dalam tempoh sama, sebanyak 6,509 kes positif baharu dilaporkan iaitu turun sedikit berbanding rekod tertinggi 6,976 kes semalam.

Beliau berkata Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi dengan 2,049 kes, diikuti Sarawak dengan 530 kes, Johor dan Kuala Lumpur masing-masing melaporkan 468 kes, Kelantan (451), Pulau Pinang (384), Kedah (348) serta Melaka dan Negeri Sembilan masing-masing 329 kes, Terengganu (263), Pahang (257), Perak (231), Sabah (184), Labuan (171), Putrajaya (40) dan Perlis (tujuh).

Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 3,452 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif individu pulih kini 456,273 manakala 711 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi termasuk 369 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, sebanyak 20 kluster baharu COVID-19 dikesan merangkumi lapan kluster di tempat kerja, enam kluster komuniti, tiga kluster keagamaan dan masing-masing satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM), kluster kumpulan berisiko tinggi dan kluster import.

Kluster di tempat kerja ialah Kluster Jalan Tengkorak, Kluster Jalan Bestari Satu dan Kluster Jalan Dato Sellathevan Empat di Selangor; Kluster Jalan Todak dan Kluster Jalan Perindustrian Bukit Minyak (Pulau Pinang); Kluster Jalan Usaha Tujuh dan Kluster Industri Pengkalan Balak (Melaka) serta Kluster Wakaf Tembesu di Terengganu.

“Kluster komuniti pula melibatkan Kluster Jalan Akik di Johor; Kluster Deluxe dan Kluster Kampung Padawan (Sabah); Kluster Kampung Pangkal Payung (Kelantan); Kluster Taman Teratai (Pahang) dan Kluster Patau – Patau di Labuan.

“Kuster keagamaan melibatkan Kluster Jalan Ehsan Jaya di Johor; Kluster Landai Permai (Kuala Lumpur) dan Kluster Taman Setia Jaya (Negeri Sembilan),” katanya.

Sementara itu, Kluster Kilometer Enam Jalan Lipis di Pahang dan Kuala Lumpur ialah kluster institusi pendidikan KPM; Kluster Jalan Jed, Selangor (kluster kumpulan berisiko tinggi) dan Kluster Dermaga Sembilan di Johor adalah kluster import.

– Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)