62 cedera dalam rusuhan di Barcelona
BOGOTA,. Keganasan tercetus di bandar raya Barcelona pada Jumaat apabila penunjuk perasaan membantah keputusan Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara antara sembilan hingga 13 tahun terhadap sembilan pemimpin kemerdekaan Katalan.
Rusuhan bermula di Via Layetana dan kemudian merebak ke kawasan bersejarah Plaza de Cataluna di pusat bandar, lapor agensi berita Anadolu.
Satu lagi kawasan yang menjadi tumpuan penunjuk perasaan ialah Dataran Urquinaona.
Insiden keganasan yang masuk hari kelima itu menyaksikan sekurang-kurangnya 17 orang ditahan dan 62 lagi cedera, memetik akhbar El Pais de Espana.
Gambar disiarkan akhbar tempatan menunjukkan di kawasan Via Layetana berhampiran Dataran Urquinaona mengalami kerosakan akibat perusuh membakar serta merosakkan pagar.
Polis Katalan, dikenali Mossos de Escuadra berkata beberapa kebakaran turut berlaku dan meminta penduduk tempatan “mengelak berada di Dataran Urquinaona Square atau kawasan berdekatan.”
Polis turut melepaskan gas pemedih mata bagi mengawal keadaan, hanya sehari selepas hampir 500,000 orang yang berhimpun di jalan-jalan utama di Barcelona beredar secara aman.
— BERNAMA