69 peratus kawasan terjejas terima bekalan air sepenuhnya – Air Selangor

69 peratus kawasan terjejas terima bekalan air sepenuhnya – Air Selangor

KUALA LUMPUR,. Sejumlah 888 kawasan atau 69 peratus daripada 1,279 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang akibat pencemaran pada Selasa lepas, menerima bekalan air sepenuhnya setakat 6 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata baki 391 kawasan masih dalam proses pemulihan.

“Pengguna disarankan untuk membiarkan air pili mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.

“Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, wilayah Kuala Selangor mencatat peratus pemulihan tertinggi iaitu 99 peratus diikuti Kuala Langat (80 peratus), Hulu Selangor (87 peratus), Kuala Lumpur (75 peratus), Petaling (60 peratus), Gombak (55 peratus) dan Klang/Shah Alam (51 peratus).

Elina berkata bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih disediakan untuk kemudahan pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

“Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )