9 pasukan Liga Super, 3 Liga Premier lulus lesen kelab kebangsaan

9 pasukan Liga Super, 3 Liga Premier lulus lesen kelab kebangsaan

SHAH ALAM,. Sembilan pasukan bersaing dalam Liga Super serta tiga pasukan Liga Premier lulus permohonan lesen kelab kebangsaan, bagi membolehkan mereka beraksi pada saingan musim 2020.

Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, sembilan pasukan Liga Super itu adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Selangor, Terengganu, Felda United FC dan PJ City FC.

Sementara tiga pasukan Liga Premier adalah Negeri Sembilan, Sabah dan UiTM FC, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat FIB Pelesenan Kelab FAM di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam.

Sheikh Mohd Nasir berkata daripada sembilan pasukan Liga Super itu, hanya enam layak menerima lesen kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) iaitu JDT, Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Terengganu.

Katanya dua lagi pasukan Liga Super iaitu PKNS FC dan Melaka United diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat, antaranya perlu melengkapkan surat pengesahan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, ekoran masalah kewangan yang dihadapi mereka.

“Kesemua syarat ditetapkan itu perlu dilengkapkan sebelum 30 Okt ini dan jika gagal, pasukan tersebut akan diturunkan beraksi dalam Liga Premier pada tahun depan.

“Pasukan PKNP FC pula gagal dalam permohonan mereka kerana tidak menepati kriteria ditetapkan, malah mereka langsung tidak memuat naik dokumen berkaitan permohonan lesen. Dengan itu, pasukan ini secara automatik diturunkan ke Liga Premier pada musim depan,” katanya dan menjelaskan kesemua keputusan itu hasil mesyuarat berlangsung semalam dan hari ini.

Katanya pasukan PDRM FC, Pulau Pinang dan Selangor United yang bersaing dalam Liga Premier musim ini juga diberikan kelulusan bersyarat dan harus melengkapkan keperluan ditetapkan sebelum 30 Okt ini atau diturunkan ke saingan Liga M3.

Berhubung kedudukan tiga lagi pasukan Liga Premier iaitu Kelantan, Sarawak dan UKM FC, beliau berkata badan berkenaan mencapai kesepakatan untuk menangguhkan keputusan berhubung perkara tersebut, untuk diumumkan pada 30 Okt ini.

Dalam pada itu, Stuart berkata FAM akan mewajibkan setiap pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia untuk mengemukakan surat pengisytiharan, mengenai kedudukan kewangan masing-masing.

“Melalui surat ini, kita dapat lihat kedudukan sebenar kewangan sesebuah pasukan dan FAM akan mengaudit setiap daripada mereka pada 15 Dis ini, bagi memastikan butiran kewangan dikemukakan dalam surat pengisytiharan itu adalah betul,” katanya.

Tegas beliau, mana-mana pasukan didapati mengemukakan maklumat dalam surat pengisytiharan berlainan daripada yang diaudit, lesen mereka akan dibatalkan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )