KUALA LUMPUR,. Pengamal media digesa melaksanakan pelaporan yang tepat, berimbang dan bertanggungjawab, selain mengelak naratif yang menyalahkan kesel
KUALA LUMPUR,. Pengamal media digesa melaksanakan pelaporan yang tepat, berimbang dan bertanggungjawab, selain mengelak naratif yang menyalahkan keseluruhan rakyat sesebuah negara dalam isu jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan di beberapa kawasan di Indonesia.
Pemangku Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia harus menjadi asas teguh untuk membincangkan isu tersebut secara terbuka dan matang tanpa mengetepikan kepentingan rakyat yang berhak menikmati udara bersih
“Jerebu bukan sekadar isu alam sekitar, malah melibatkan kesihatan awam, kesejahteraan rakyat dan tanggungjawab bersama negara serantau. Isu berulang ini memerlukan penyelesaian menyeluruh, bukan sekadar tindakan kecemasan ketika keadaan bertambah buruk.
“ISWAMI Malaysia percaya bahawa kerjasama yang ikhlas, akauntabiliti yang jelas dan tindakan yang berkesan mampu memastikan ancaman jerebu tidak terus berulang hingga menjejaskan kehidupan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Zaini berkata melindungi kesihatan rakyat perlu menjadi keutamaan, selain menegaskan kepentingan pemantauan kualiti udara, penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan yang tepat serta langkah perlindungan khususnya bagi golongan berisiko.
Beliau turut menyarankan orang ramai agar sentiasa merujuk bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan mematuhi nasihat pihak berkuasa.
Selain itu, katanya langkah memperkukuh pencegahan dan penguatkuasaan di Indonesia juga perlu dilaksanakan dengan mempergiat operasi pemadaman kebakaran, mencegah pembakaran terbuka serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Ahmad Zaini berkata berkata kerjasama dua hala Malaysia-Indonesia perlu ditingkatkan melalui perkongsian data titik panas, pemantauan pergerakan asap serta bantuan teknikal dan operasi pemadaman kebakaran apabila diperlukan.
“Di peringkat serantau, komitmen ASEAN dalam aspek pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan juga perlu diperkukuh bagi merealisasikan impian rantau bebas jerebu,” katanya.
— BERNAMA

