NRES teliti mekanisme senarai hitam pesalah e-waste, perinci pengurusan bateri EV

HomeFeaturedBerita Semasa

NRES teliti mekanisme senarai hitam pesalah e-waste, perinci pengurusan bateri EV

KUALA LUMPUR,. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang meneliti mekanisme menyenaraihitamkan syarikat dan pengimport yang berulang

Panggilan senyap taktik baharu scammer perangkap mangsa – CyberSecurity Malaysia
JS-SEZ: Malaysia, Singapura dan Indonesia mulakan perbincangan kerjasama – Tengku Zafrul
Iran dakwa lancar serangan dron ke atas tiga pangkalan AS di Kuwait

KUALA LUMPUR,. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang meneliti mekanisme menyenaraihitamkan syarikat dan pengimport yang berulang kali melanggar undang-undang sisa elektronik (e-waste) haram, selain memperinci hala tuju pengurusan bateri kenderaan elektrik (EV).

NRES dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen memaklumkan, cadangan memperkukuh tindakan terhadap pesalah berulang termasuk mekanisme senarai hitam itu sedang diteliti melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang kini dalam proses menggubal pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] Fasa 2(b).

“Langkah ini bertujuan memperkukuh tadbir urus alam sekitar, penguatkuasaan serta menangani cabaran baharu termasuk jenayah alam sekitar dan pengimportan e-waste secara haram dengan mengambil kira kesesuaian peruntukan undang-undang,” menurut kementerian itu.

NRES menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berhubung cadangan pindaan undang-undang untuk memasukkan peruntukan khusus menyenaraihitamkan syarikat dan pengimport sisa elektronik haram pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut NRES, berdasarkan rekod penguatkuasaan bagi tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 1,241 kontena telah diperiksa oleh agensi penguatkuasaan dengan 701 kontena didapati mengandungi e-waste dan ditahan, manakala 428 kontena berjaya dipulangkan semula ke negara asal.

Sementara itu, mengulas soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) tentang mekanisme Tanggungjawab Pengeluar Diperluas (EPR) bagi bateri EV, NRES menjelaskan ketetapan mandatori untuk mewajibkan pengeluar mengambil semula dan menanggung kos pelupusan bateri tamat hayat masih belum dimuktamadkan.

Pelaksanaan EPR mandatori itu memerlukan penelitian lanjut melibatkan aspek perundangan dan pembiayaan, selain penyelarasan dasar bersama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Bagaimanapun, Jabatan Standard Malaysia (JSM) dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) kini sedang membangunkan standard MS 2818: Battery Passport for Electrified Vehicle yang merupakan inisiatif standard pasport bateri pertama di ASEAN untuk merekod dan mengesan kitar hayat bateri secara digital.

Mengenai data kitar semula sisa berkenaan, rekod JAS menunjukkan sejumlah 13,743.15 tan metrik buangan bateri di bawah kod buangan terjadual SW103 telah dijana di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga 2025, namun jumlah tersebut merangkumi semua jenis buangan bateri dan tidak terhad kepada EV sahaja.

Hingga kini, terdapat tujuh fasiliti pemerolehan kembali luar tapak bagi buangan kod SW103 yang beroperasi di Kedah, Selangor, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang untuk memproses semula bahan bernilai daripada bateri terpakai termasuk litium, nikel dan kobalt.

— BERNAMA