GENEVA,. Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin mengumumkan bahawa masalah kekurangan dana memaksa agensi itu
GENEVA,. Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin mengumumkan bahawa masalah kekurangan dana memaksa agensi itu mengurangkan bantuan makanan di Semenanjung Gaza kira-kira satu pertiga, menyebabkan setengah juta penduduk terputus daripada sokongan kritikal menjelang musim sejuk, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, agensi itu memaklumkan bahawa ia kini memberikan bantuan kepada 1.1 juta golongan rentan di Gaza, berbanding 1.6 juta bulan lepas, manakala catuan makanan telah dikurangkan separuh.
Keluarga yang menerima bantuan kini akan mendapat satu pakej makanan berbanding dua sebelum ini, bersama beg tepung gandum yang lebih kecil, katanya.
Jumlah hidangan makanan panas harian juga merosot daripada 250,000 kepada 150,000, manakala keluarga di kawasan yang sukar diakses, termasuk yang berada berhampiran “garisan kuning” kawalan tentera Israel, akan menerima makanan dua hari sekali berbanding setiap hari.
Agensi itu turut mengurangkan nilai bantuan tunai bagi 75,000 keluarga.
Menurut WFP, dianggarkan 1.4 juta orang, atau 67 peratus daripada penduduk Gaza, berdepan krisis ketakjaminan makanan pada tahap kritikal atau lebih buruk, termasuk kira-kira 200,000 yang mengalami keadaan kecemasan dan memerlukan bantuan makanan segera bagi mengelakkan kematian akibat kelaparan.
Hanya seorang daripada lima kanak-kanak mendapat pelbagai diet yang mencukupi , manakala kadar pengangguran melebihi 80 peratus, menyebabkan banyak keluarga tidak mampu membeli makanan berkhasiat.
WFP memberi amaran bahawa peningkatan “sederhana” dalam keterjaminan makanan sejak gencatan senjata pada Oktober 2025 kekal “rapuh” dan boleh merosot semula dengan pantas akibat pengurangan seterusnya dalam bantuan kemanusiaan.
Kekurangan dana turut memaksa agensi berkenaan mengurangkan bantuan di Tebing Barat yang diduduki kepada separuh, daripada 400,000 kepada 200,000 orang.
Agensi itu memerlukan sekurang-kurangnya US$450 juta secara mendesak untuk meneruskan operasi kritikal di seluruh Gaza dan Tebing Barat bagi tempoh enam bulan akan datang, sehingga Mac 2027.
— BERNAMA-ANADOLU

