
25 sekolah terjejas banjir
KOTA KINABALU,. Sebanyak 25 sekolah membabitkan tujuh daerah di negeri ini terjejas akibat banjir.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Dr. Mistirine Radin berkata, daripada jumlah itu hanya Sekolah Menengah (SM) St. Michael Penampang yang ditutup sehingga banjir surut.
Menurutnya, sekolah-sekolah lain yang terjejas adalah sekolah rendah yang masih belum beroperasi.
Katanya, bagi daerah Kota Belud, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi II Kota Belud dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk penempatan mangsa banjir, manakala sekolah menengah lain dibuka seperti biasa.
Beliau berkata, antara daerah yang terlibat termasuklah Penampang, Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Kota Belud, Tuaran dan Beaufort.
Kebanyakan kawasan sekolah dinaiki air dan penutupan sekolah akan dibuat sehingga banjir surut dan kawasan sekolah dalam keadaan selamat.
“Kita juga ada syarikat pembersih kawasan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.
“Bagaimanapun, kebanyakan sekolah menjalankan gotong-royong melibatkan guru untuk membersihkan kawasan sekolah,” katanya ketika dihubungi.