IMIGRESEN KL GESA WARGA KERJA KEKAL INTEGRITI, PROFESIONALISME

HomeFeaturedBerita Semasa

IMIGRESEN KL GESA WARGA KERJA KEKAL INTEGRITI, PROFESIONALISME

KUALA LUMPUR,. Warga kerja Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur digesa memantapkan budaya profesionalisme serta mengekalkan integriti tinggi dalam mel

Imigresen selamatkan pembantu rumah warga Indonesia jadi mangsa eksploitasi
JIM TAHAN 190 WARGA ASING, DUA LELAKI TEMPATAN DALAM SERBUAN PUSAT HIBURAN
JIM tahan lelaki warga Bangladesh berkaitan hantaran tular pemilikan dua pasport

KUALA LUMPUR,. Warga kerja Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur digesa memantapkan budaya profesionalisme serta mengekalkan integriti tinggi dalam melaksanakan tugas, khususnya bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di ibu negara.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Datuk Hamsha Injau berkata integriti dan budaya kerja cemerlang merupakan asas yang tidak boleh dikompromi, lebih-lebih lagi apabila setiap tindakan pegawai jabatan itu sentiasa menjadi perhatian masyarakat dan pengguna media sosial.

Beliau berkata setiap urusan termasuk perkhidmatan di kaunter, pengurusan pekerja asing, penguatkuasaan, kawalan depot orang kena tahan (OKT) serta pentadbiran perlu dilaksanakan secara telus dan profesional.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam serta memberikan perkhidmatan dan penguatkuasaan, integriti dan budaya kerja cemerlang adalah asas yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

“Kita sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran dan ekspektasi tinggi daripada masyarakat. Jaga integriti kita setiap masa, jangan beri ruang kepada pihak yang cuba menawarkan suapan atau rasuah, tolak mentah-mentah,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan JIM Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hamsha turut mengingatkan warga kerja jabatan itu supaya mengamalkan profesionalisme dan kesopanan tinggi ketika berurusan dengan pelanggan, selain memastikan setiap tindakan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Di kaunter, layanlah pelanggan dengan baik, senyum dan mesra, buat kerja secara profesional mengikut SOP ditetapkan. Jika sesuatu permohonan tidak layak atau borang tidak lengkap, maklumkan secara profesional dan berhemah.

“Apabila kita bertugas dengan berintegriti, kita boleh tidur lena di rumah tanpa rasa bimbang terhadap sebarang kecaman atau tohmahan. Pikul amanah ini sebagai satu ibadah dengan ketegasan yang disemarakkan akhlak mulia serta profesional,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas kerjasama dan sokongan berterusan, khususnya dalam membuat liputan operasi penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur termasuk Ops Kutip dan Ops Gegar.

Beliau turut menggalakkan pihak media menyalurkan teguran secara berhemah bagi membantu penambahbaikan jabatan, selain memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah sahih dan telus.

“Jika ada salah laku, kita mempunyai saluran rasmi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau ibu pejabat JIM untuk membuat aduan. Sebarang maklumat yang disalurkan kepada masyarakat perlulah sahih dan telus agar orang ramai tidak keliru,” katanya.

–BERNAMA