PUTRAJAYA,. Jemaah Menteri hari ini bersetuju supaya Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dibentangk
PUTRAJAYA,. Jemaah Menteri hari ini bersetuju supaya Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember ini, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata keputusan dibuat selepas Jemaah Menteri meluluskan cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melaksanakan dua perkara berkaitan usaha memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk bersuara.
“Yang pertama ialah meminda AUKU, khususnya peruntukan seksyen yang dilihat sebagai mengekang kebebasan mahasiswa untuk bersuara atau pun berpersatuan dan kedua, untuk membangunkan satu akta yang baharu untuk menggantikan sepenuhnya AUKU dalam tempoh yang munasabah.
“Sehubungan dengan itu, Jemaah Menteri bersetuju supaya Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membentangkan RUU pindaan AUKU untuk dibawa ke Parlimen pada Disember ini. Itu untuk meminda AUKU khususnya bagi peruntukan seksyen yang mengekang kebebasan mahasiswa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Fahmi berkata proses untuk menggubal akta baharu yang akan menggantikan sepenuhnya AUKU akan mengambil sedikit masa oleh KPT memandangkan ia memerlukan penelitian semua aspek, terutama pendaftaran, penyenaraian dan pengurusan universiti.
“Itu akan mengambil sedikit masa kerana pihak KPT perlu mengambil kira beberapa perkara baharu mungkin dalam cara menguruskan universiti,” katanya.
Pada Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memansuhkan AUKU secara keseluruhan, dengan RUU berkaitan perkara itu akan dibawa ke Parlimen tahun ini untuk kelulusan.
Anwar berkata cadangan memansuhkan akta itu bagi memberikan kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini, selepas mengambil kira memorandum serta pandangan yang dikemukakan oleh kepimpinan mahasiswa, yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.
— MBERNAMA

