PARIS,. Kesatuan sekerja di Perancis menggesa demonstrasi baharu diadakan pada Khamis bagi menuntut kenaikan gaji dan membantah pemotongan perbelanjaa
PARIS,. Kesatuan sekerja di Perancis menggesa demonstrasi baharu diadakan pada Khamis bagi menuntut kenaikan gaji dan membantah pemotongan perbelanjaan sosial, selain menggerakkan mogok umum yang dijangka disertai beberapa ratus ribu peserta, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pihak berkuasa merancang menempatkan sejumlah besar anggota polis bagi mengelakkan keganasan seperti yang berlaku ketika demonstrasi terdahulu pada pertengahan Oktober.
Pekerja sektor awam dijangka menyertai seruan mogok berkenaan, namun sejauh mana gangguan yang bakal berlaku terhadap pergerakan pengembara ke Perancis masih belum dapat dipastikan.
Menurut laporan media, pengendali kereta api milik kerajaan SNCF menjangkakan hanya gangguan kecil terhadap perkhidmatan jarak jauh.
Setakat ini, masih belum jelas sama ada mogok yang dirancang pengawal trafik udara akan menyebabkan gangguan besar terhadap penerbangan, manakala perkhidmatan metro Paris dijangka beroperasi seperti biasa.
Gerakan Jaket Kuning serta pertubuhan pelajar sekolah dan universiti turut menyokong seruan protes itu.
Kumpulan berkenaan sebelum ini menganjurkan demonstrasi pada tiga Sabtu berturut-turut bagi membantah kos sara hidup yang tinggi dan menuntut pendidikan lebih baik.
Sementara itu, kerajaan berusaha mencapai kompromi dengan penunjuk perasaan.
Menteri Ekonomi Roland Lescure memberitahu penyiar BFMTV bahawa kerajaan sedang meneliti sejauh mana gaji minimum boleh dinaikkan lagi, selain kenaikan yang telah dijadualkan pada Januari 2027.
“Gaji minimum melibatkan dua perkara, iaitu kadar dan masa pelaksanaannya,” kata menteri itu.
“Dalam beberapa hari akan datang, kami akan dapat mengumumkan sesuatu.”
— BERNAMA-dpa

