
Banjir kilat di Lipis semakin pulih
KUANTAN,. Banjir kilat di Lipis kira-kira 278 kilometer dari sini semakin pulih apabila sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup petang semalam selepas kesemua 132 mangsa merangkumi 36 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata setakat ini hanya satu PPS masih beroperasi iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Chegar Patah yang menempatkan 271 mangsa daripada 70 keluarga.
“Berlaku sedikit peningkatan mangsa yang dipindahkan ke PPS itu pada pagi ini berbanding 268 mangsa daripada 68 keluarga semalam,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, PPS SK Teluk Gunung yang mula beroperasi pada malam Isnin lalu bagi menempatkan 70 mangsa ditutup pada petang Selasa setelah banjir surut.
Hujan lebat selama hampir sembilan jam pada Isnin lepas menyebabkan paras air Sungai Relau meningkat dan melimpah ke kawasan berhampiran.
— BERNAMA