KUALA LUMPUR,. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana
KUALA LUMPUR,. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pegawai khas kepada Najib, Ahmad Lutfi Azhar hadir di mahkamah pada 11.30 pagi bagi menyelesaikan urusan pembayaran tersebut dan melengkapkan prosedur pentadbiran yang diperlukan sebelum pembayaran itu dimuktamadkan.
Pembayaran itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Sept lepas, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.
Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata Najib perlu menjelaskan denda berkenaan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memandangkan kes itu difailkan dan dibicarakan di mahkamah berkenaan.
Sementara itu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib berkata pihaknya sedang menyelesaikan proses dokumentasi di kaunter pendaftaran jenayah Mahkamah Tinggi.
“Ya, saya berada di sini untuk menyelesaikan urusan berkaitan proses berkenaan,” katanya dalam satu mesej menerusi WhatsApp kepada pemberita.
Pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan menerusi mesyuarat ke-61 memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan serta hukuman itu pada Disember 2021 dan keputusan itu juga dikekalkan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir Najib pada 23 Ogos 2022.
Pada hari sama, Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Bercakap pada sidang media selepas pembayaran dibuat, Muhammad Farhan berkata denda RM50 juta berkenaan telah dijelaskan oleh wakil UMNO kepada Mahkamah Tinggi pagi tadi.
Beliau berkata susulan pembayaran itu, mahkamah telah mengeluarkan perintah tahanan di rumah selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan kepada Najib.
“Susulan itu, mahkamah telah mengeluarkan perintah tahanan di rumah selaras dengan pengampunan bersyarat berkenaan. Kami sudah memperoleh perintah tersebut dan akan menyerahkannya kepada pihak Penjara Kajang sekarang.
“Masih terdapat beberapa proses lanjut yang perlu diselesaikan, jadi saya tidak akan menjawab sebarang pertanyaan buat masa ini. Bagaimanapun, sebaik proses itu selesai, kami akan mengeluarkan kenyataan media yang lebih terperinci,” katanya.
Mengenai tempoh diperlukan untuk menyelesaikan proses berkenaan, Muhammad Farhan berkata pihak pembelaan menjangkakan segala urusan dapat diselesaikan hari ini sekiranya berjalan seperti dirancang.
Keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan di rumah bagaimanapun tidak menamatkan kes jenayah dan sivil lain sedang dihadapi bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Najib masih berdepan prosiding undang-undang lain, termasuk rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atas 25 pertuduhan, iaitu empat salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang haram membabitkan kira-kira RM2.3 bilion dana 1MDB.
Pada 14 Okt 2026, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan. Peguamnya kemudian menyatakan hasrat untuk memfailkan permohonan penangguhan di Mahkamah Rayuan.
Najib turut mempunyai kes saman sivil USD5.64 bilion bersama enam individu lain yang difailkan 1MDB berhubung dakwaan pelanggaran tugas fidusiari dan statutori, penyalahgunaan kuasa, konspirasi serta penyelewengan dana syarikat di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus. Kes itu dijadualkan bersambung 15 Mac 2027.
Beliau juga masih berdepan saman sivil bernilai RM42 juta yang difailkan SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan perbicaraan kes itu telah selesai pada 16 Mac 2026. Kes itu pada peringkat hujahan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Sementara itu, mengenai prosiding kebankrapan terhadap Najib dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin, pada 4 Sept tahun ini, Mahkamah Rayuan telah membenarkan penangguhan prosiding kebankrapan terhadap kedua-dua mereka sementara menunggu penyelesaian rayuan mereka di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) berhubung taksiran cukai tambahan yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau juga mempunyai satu lagi rayuan di Mahkamah Rayuan bagi kes saman sivil USD1.18 bilion yang difailkan SRC International. Mahkamah Tinggi sebelum ini memerintahkan Najib membayar ganti rugi USD1.3 bilion selepas mendapatinya menyalahgunakan kedudukan dan menyeleweng dana syarikat itu untuk kepentingan peribadi.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi USD1.3 bilion sementara menunggu rayuannya terhadap keputusan berkenaan.
— BERNAMA

