Pengunduran Gibran uji keyakinan pelabur terhadap Indonesia

HomeFeaturedBerita Semasa

Pengunduran Gibran uji keyakinan pelabur terhadap Indonesia

JAKARTA,. Indonesia berdepan tekanan baharu untuk mengekalkan keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi selepas peletakan jawatan Naib Presiden Gibran

Agensi PBB beri amaran penutupan Selat Hormuz ancam keselamatan makanan global
Perdana Menteri baharu UK, Andy Burnham ikrar ikhtiar “perubahan terbesar” dalam tempoh 40 tahun
Kerajaan belum muktamadkan kadar cukai karbon – Amir Hamzah

JAKARTA,. Indonesia berdepan tekanan baharu untuk mengekalkan keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi selepas peletakan jawatan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka.

Kredibiliti penggantinya dijangka memainkan peranan penting dalam membentuk sentimen pasaran, menurut seorang ahli ekonomi.

Penganalisis perniagaan dan ekonomi, Dr Muhammad Ramaditya, berkata pasaran kewangan Indonesia memberikan reaksi berbeza terhadap pengunduran Gibran.

Rupiah melemah akibat ketidaktentuan politik, manakala pasaran saham domestik melonjak apabila pelabur menyambut baik prospek peralihan politik yang lebih lancar.

“Dari sudut mata wang, ketidaktentuan politik mencetuskan penghindaran risiko serta-merta, mendorong rupiah jatuh ke paras terendah 18,247 bagi setiap dolar AS.

“Sebaliknya, pasaran saham domestik memberikan reaksi lega. Indeks Harga Saham Gabungan (IHSG) melonjak 2.66 peratus untuk ditutup pada 5,250.89 mata.

“Pelabur saham melihat pengunduran sukarela Gibran sebagai langkah yang meredakan tekanan dan mengelakkan pertarungan pemecatan berpanjangan di Parlimen yang boleh menggugat kestabilan,” katanya kepada Bernama.

Paras 18,247 rupiah bagi setiap dolar AS itu bersamaan kira-kira 4,472 rupiah bagi RM1 berdasarkan kadar silang semasa.

Gibran secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) pada Khamis susulan perkembangan undang-undang berkaitan kelayakan pendidikannya.

MPR kemudian memulakan proses memilih pengganti dan mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengisi kekosongan jawatan itu.

Presiden Prabowo Subianto perlu mengemukakan dua calon dalam tempoh 14 hari selepas menerima permintaan rasmi daripada MPR.

Walaupun kesan ekonomi lebih luas daripada pengunduran Gibran masih belum kelihatan, Ramaditya berkata pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat, dengan tumpuan diberikan kepada pemilihan penggantinya.

“Jika keadaan ekonomi merosot seiring ketidakstabilan politik, ia boleh membawa kepada krisis sekiranya keadaan tidak ditangani dengan segera,” katanya.

Peralihan politik itu berlaku ketika pasaran modal Indonesia berdepan penelitian lebih ketat selepas penyedia indeks global MSCI mengumumkan rancangan mengeluarkan konglomerat tenaga Barito Pacific dan Bumi Resources Minerals daripada Indeks Standard Globalnya, berkuat kuasa 1 Disember.

Perubahan itu dijangka menyebabkan hanya tujuh syarikat Indonesia kekal dalam Indeks MSCI Indonesia, berbanding 17 pada April, berdasarkan lembaran fakta terdahulu MSCI dan laporan media kewangan Indonesia.

Semakan terbaharu itu menyusuli cadangan MSCI pada 15 Oktober untuk mengelaskan semula Indonesia daripada pasaran sedang pesat membangun kepada pasaran kendiri.

Cadangan itu dibuat susulan kebimbangan mengenai ketelusan pemilikan dan dakwaan dagangan terselaras, dengan keputusan dijangka menjelang Jun 2027.

Ramaditya berkata, kredibiliti pengganti Gibran amat penting bagi meyakinkan pelabur ketika peralihan politik, terutama ketika Indonesia berdepan penelitian MSCI terhadap tadbir urus dan ketelusan pasaran modal.

“Pertama sekali, pengganti perlu membawa rekod undang-undang, pendidikan dan etika yang tidak boleh dipertikaikan bagi segera meyakinkan pelabur domestik serta antarabangsa.

“Perkara ini sangat penting ketika pasaran mata wang sensitif terhadap isu tadbir urus dan penyedia indeks global seperti MSCI sedang memerhatikan kredibiliti pasaran Indonesia,” katanya.

Selain kredibiliti peribadi, Ramaditya berkata naib presiden baharu perlu meningkatkan penyelarasan antara agensi kerajaan bagi menangani kekangan dalam penyaluran belanjawan negara, pelaksanaan infrastruktur dan kerjasama dengan pentadbiran wilayah.

Penyelarasan berkesan penting untuk memajukan keutamaan ekonomi Indonesia, termasuk pengindustrian hiliran, peralihan tenaga dan pewujudan pekerjaan formal.

Ia juga perlu bagi memastikan perbelanjaan kerajaan menghasilkan manfaat ekonomi yang nyata.

“Peralihan yang berjaya memerlukan naib presiden yang memperjuangkan industri berintensifkan buruh dan memudahkan urusan perniagaan kecil.

“Pada masa sama, beliau perlu memastikan gabungan pemerintah kekal bersatu tanpa menggunakan perbelanjaan populis di luar belanjawan yang boleh mengancam disiplin fiskal Indonesia,” katanya.

— BERNAMA