KUALA LUMPUR,. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan aplikasi mudah alih MySaham MITI bagi memudahkan pelabur Bumiputera
KUALA LUMPUR,. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan aplikasi mudah alih MySaham MITI bagi memudahkan pelabur Bumiputera mendapatkan maklumat serta menguruskan urusan berkaitan Saham Khas Bumiputera (SKB).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, aplikasi itu diperkenalkan bagi memperluas akses kepada peluang penyertaan Bumiputera dalam pemilikan ekuiti korporat negara.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha MITI memperkukuh penyampaian perkhidmatan secara digital menerusi urusan pengguna yang lebih mudah, pengurusan maklumat yang cekap serta proses permohonan yang lebih teratur.
“MySaham MITI diperkenalkan untuk memudahkan pelabur Bumiputera mendapatkan maklumat dan menguruskan urusan berkaitan Saham Khas Bumiputera.
“Melalui aplikasi ini, kita mahu memperluas akses kepada peluang penyertaan dalam pemilikan ekuiti korporat negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi MySaham MITI yang diadakan bersempena Perhimpunan Bulanan MITI dan sambutan Deepavali 2026 di Menara MITI, di sini, pada Khamis.
Johari berkata, menerusi inisiatif SKB, MITI menyelaras penawaran saham khas Bumiputera bagi syarikat yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia, sekali gus membolehkan pelabur Bumiputera yang layak menyertai penawaran berkenaan.
Katanya, akses kepada maklumat yang jelas serta saluran urusan yang mudah dicapai penting bagi memastikan pelabur dapat memanfaatkan peluang yang tersedia.
Menerusi MySaham MITI, pelabur berdaftar MITI dan pihak berkepentingan boleh mendapatkan maklumat mengenai penawaran saham serta menguruskan urusan berkaitan SKB melalui peranti mudah alih.
Aplikasi itu menyediakan kemudahan pada peringkat utama urusan pelabur, termasuk pendaftaran, permohonan saham serta semakan keputusan permohonan.
Pengguna juga boleh mendaftar sebagai pelabur MITI, mengemukakan permohonan penyertaan dalam penawaran saham yang dibuka serta menyemak status dan keputusan permohonan masing-masing.
Selain itu, aplikasi berkenaan membolehkan pelabur melihat maklumat portfolio pelaburan, tertakluk kepada fungsi yang disediakan, selain menerima notifikasi mengenai penawaran saham, tarikh penting, pengumuman dan perkembangan terkini berkaitan SKB.
Johari menegaskan bahawa kejayaan MySaham MITI perlu dinilai berdasarkan manfaat sebenar kepada pengguna serta keupayaannya memudahkan urusan mereka.
Beliau turut menekankan keperluan memastikan penyampaian perkhidmatan dilaksanakan dengan cekap dan bertanggungjawab, termasuk memastikan maklumat sentiasa jelas serta dikemas kini, manakala pertanyaan dan kesulitan pengguna ditangani dengan segera.
Katanya, pasukan yang mengendalikan aplikasi itu perlu mengambil tindakan terhadap maklum balas pengguna dan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan, dengan memberi keutamaan kepada kemudahan penggunaan, kebolehpercayaan sistem serta keselamatan maklumat.
Beliau berkata, usaha memperluas akses kepada peluang dalam pasaran modal juga perlu disertai peningkatan literasi pelaburan bagi menggalakkan lebih ramai Bumiputera menjadi pelabur yang berpengetahuan dan bertanggungjawab.
Langkah itu penting bagi memastikan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara dapat dilaksanakan secara bermakna dan berterusan.
Sehubungan itu, beliau menyeru pelabur Bumiputera yang layak serta pihak berkepentingan agar memanfaatkan aplikasi MySaham MITI untuk mendapatkan maklumat, mengikuti peluang penawaran saham dan memantau perkembangan permohonan masing-masing.
— GERBANGPOST

