PELAKSANAAN PROJEK PENYELIDIKAN SOLAR TERAPUNG PULAU TIOMAN PERLU AMBIL KIRA EKOSISTEM MARIN – MB

HomeFeaturedBusiness

PELAKSANAAN PROJEK PENYELIDIKAN SOLAR TERAPUNG PULAU TIOMAN PERLU AMBIL KIRA EKOSISTEM MARIN – MB

KUANTAN,. Pelaksanaan projek penyelidikan solar terapung di Pulau Tioman perlu mengambil kira beberapa aspek termasuk ekosistem marin sebelum dilaksan

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS
Solarvest: Memperoleh kontrak kejuruteraan RM1.06 bilion bangun loji solar di Perak
Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

KUANTAN,. Pelaksanaan projek penyelidikan solar terapung di Pulau Tioman perlu mengambil kira beberapa aspek termasuk ekosistem marin sebelum dilaksanakan, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata secara prinsipnya kerajaan negeri menyokong cadangan itu kerana menjadi inisiatif memperluas penggunaan tenaga boleh baharu selaras dengan aspirasi menjadikan Pulau Tioman sebagai Pulau Tenaga Hijau.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri juga mengambil perhatian terhadap kesesuaian lokasi pemasangan supaya tidak menjejaskan keindahan pesisir pantai, ekosistem marin, terumbu karang, hidupan marin serta keselamatan pelancong.

“Aspek penyelenggaraan jangka panjang juga perlu diberi perhatian bagi memastikan projek ini tidak memberikan kesan negatif terhadap persekitaran dan imej pelancongan Pulau Tioman,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) yang ingin tahu pendirian kerajaan negeri mengenai cadangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) Pahang untuk membangunkan projek solar terapung pertama Pahang di pulau tersebut.

Wan Rosdy berkata cadangan projek berkapasiti 780 kilowatt itu bagi mengkaji pelaksanaan kebolehlaksanaan teknikal dan ekonomi teknologi solar terapung luar pesisir di Malaysia.

Beliau berkata kajian itu antara lain bagi melaksanakan alternatif kepada bekalan elektrik Pulau Tioman yang pada masa ini banyak bergantung kepada penjanaan diesel.

“Memandangkan lokasi cadangan berada dalam kawasan Taman Laut yang tertakluk kepada Akta Perikanan 1985 serta kawasan diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, pelaksanaannya perlu mendapat kelulusan dan mematuhi syarat teknikal serta perundangan pihak berkuasa berkaitan.

“Ini termasuk keperluan mendapatkan kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia bagi pembinaan struktur dalam kawasan Taman Laut selaras dengan Seksyen 43(2) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak memaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang melaksanakan saringan berkaitan isu kesihatan mental pertama tahun ini ke atas 105,362 murid di 11 daerah.

Ia dijalankan berdasarkan instrumen Patient Health Questionnaire-9 (PHQ-9) bagi tanda kemurungan.

“Daripada analisis ini, 60.1 peratus atau 63,363 murid berada pada tahap normal, 29.8 peratus pada tahap ringan dan 7.7 peratus pada tahap sederhana manakala 2.4 peratus iaitu lebih 2,500 murid berada pada tahap teruk dan sangat teruk,” katanya.

Mohd Soffi berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chan Chun Kuang (PH-Semambu) mengenai langkah preventif yang dilaksanakan kerajaan negeri, khususnya JPN dalam isu berkaitan kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah.

— BERNAMA