Bagasi tanpa pelekat keselamatan bongkar penemuan lebih 90kg dadah di Pangkalan Udara Subang

HomeFeaturedJenayah

Bagasi tanpa pelekat keselamatan bongkar penemuan lebih 90kg dadah di Pangkalan Udara Subang

KUALA LUMPUR,. Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditahan ketika cuba menyeludup dadah di Pangkalan Udara Subang Selasa lepas dikesan

Malaysia, Kanada sepakat perkukuh hubungan ekonomi, teroka peluang baharu – PM Anwar
Yuran pengeluaran tunai ATM antara bank dikecualikan bermula 1 Julai 2026
LEBIH 21,500 KANAK-KANAK PALESTIN TERKORBAN, 1,244 MASJID JADI SASARAN ISRAEL SEJAK OKTOBER 2023

KUALA LUMPUR,. Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditahan ketika cuba menyeludup dadah di Pangkalan Udara Subang Selasa lepas dikesan cuba mencampurkan bagasi berisi bahan terlarang itu dengan bagasi yang telah melepasi mesin pengimbas.

Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata tindakan itu bagaimanapun gagal selepas pegawai Cawangan Pergerakan Udara mengesan lima bagasi berbalut plastik dan sebuah kotak tanpa pelekat tapisan keselamatan berada di kawasan legar bahagian ketibaan dan tuntutan barang pada 10 pagi.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut terhadap kotak yang sedikit terbuka itu menemukan beberapa botol berlabel baja kimia yang dilarang dibawa menaiki pesawat.

“Pegawai bertugas kemudian membawa bagasi berkenaan ke mesin pengimbas untuk pemeriksaan dan mendapati ia mengandungi bungkusan yang tersusun rapi serta mencurigakan.

“Pegawai berkenaan seterusnya mengarahkan seorang anggota lain untuk mencari pemilik bagasi berkenaan bagi tujuanpemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muhamad Norazlan berkata semakan mendapati pemilik bagasi berkenaan merupakan seorang pegawai yang terlibat dalam penerbangan TUDM.

“Beliau telah datang membuka bagasi berkenaan bagi pemeriksaan fizikal secara lebih teliti.

“Bagaimanapun, kelima-lima bagasi berkenaan didapati tidak melepasi mesin pengimbas dan pemiliknya cuba meletakkan kembali bagasi itu ke dalam kereta beliau bagaimanapun tidak dibenarkan oleh pegawai bertugas,” katanya.

Beliau berkata suspek kemudian terpaksa menggunakan pisau untuk memotong bagasi berkenaan kerana mendakwa tidak mempunyai kuncinya.

“Pemeriksaan mendapati bagasi tersebut mengandungi bungkusan berwarna merah yang terkoyak dan berisi ketulan-ketulan kristal disyaki bahan terlarang,” katanya.

Katanya, insiden itu segera dilaporkan kepada ketua pengawal dan Ketua Skuadron 211 Pasukan Pertahanan Darat Tentera Udara (HANDAU) sebelum diserahkan kepada Cawangan Penyiasatan Jenayah TUDM.

“Kami telah memaklumkan perkara ini kepada pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan mereka tiba pada 5.20 petang untuk menjalankan saringan awal,” katanya.

Beliau berkata pihak polis merampas kesemua lima beg dan kotak mengandungi botol baja tersebut sebagai bahan bukti siasatan.

“Ujian mengesahkan bahan berkenaan adalah dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan MDMA dengan berat keseluruhan 96.64 kilogram bernilai RM4.83 juta, selain cecair bahan kimia seberat 6.98 kilogram,” katanya.

Menurut beliau, dua pegawai ditangkap di Pangkalan Udara Subang manakala pegawai ketiga ditahan di pangkalan udara TUDM yang lain pada hari sama untuk membantu siasatan.

“Tiga pegawai dan sembilan anggota lain-lain pangkat terdiri daripada anggota HANDAU, unit provos dan kru penerbangan turut dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Semalam, Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan.

— BERNAMA