PUTRAJAYA,. Taktik penyamaran sebagai wakil jabatan kerajaan dengan menggunakan dokumen pesanan belian (PO) serta identiti pegawai kanan Kementerian P
PUTRAJAYA,. Taktik penyamaran sebagai wakil jabatan kerajaan dengan menggunakan dokumen pesanan belian (PO) serta identiti pegawai kanan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dikesan dalam cubaan memperdaya sebuah syarikat pelancongan.
MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan penyalahgunaan nama kementerian itu serta Jabatan Warisan Negara (JWN) oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan berkenaan.
Menurut kementerian itu, dalam satu insiden melibatkan program dikenali sebagai “Program Lawatan Rasmi” dari 1 Okt hingga 4 Okt lepas, sebuah syarikat pelancongan mendakwa menerima tempahan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil JWN berserta dokumen yang dikatakan sebagai PO.
Selain itu, MOTAC memaklumkan komunikasi menerusi aplikasi WhatsApp turut dilaporkan menggunakan nama dan identiti seorang pegawai kanan MOTAC.
“Perbuatan sedemikian bukan sahaja boleh mengelirukan pihak berkepentingan, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti kementerian, JWN serta perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pemakluman Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pada 2 Nov lepas berhubung kegiatan penipuan yang menyasarkan ejen pelancongan menerusi penyamaran sebagai wakil jabatan kerajaan.
Sehubungan dengan itu, MOTAC sedang mengambil langkah sewajarnya bagi mendapatkan pengesahan lanjut berhubung perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan serta tindakan lanjut.
MOTAC turut menasihatkan syarikat pelancongan, penyedia perkhidmatan dan orang ramai supaya membuat pengesahan menerusi saluran rasmi sebelum menerima sebarang tempahan, arahan kerja atau dokumen pesanan yang dikaitkan dengan kementerian dan jabatan berkaitan.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang pembayaran atau komitmen kewangan berdasarkan arahan, dokumen atau komunikasi yang belum disahkan kesahihannya,” menurut kenyataan itu.
MOTAC menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan nama dan identiti kementerian, JWN atau pegawai kerajaan, selain menggesa orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan unsur penipuan.
— BERNAMA

