KIRIMKIDS SASAR TAMBAH PEMANDU WANITA KEPADA 100 ORANG

HomeFeaturedBerita Semasa

KIRIMKIDS SASAR TAMBAH PEMANDU WANITA KEPADA 100 ORANG

PUTRAJAYA,. Platform pengangkutan kanak-kanak, KirimKids, menyasarkan untuk menambah bilangan pemandu wanita, dikenali sebagai Kaptain, kepada 100 ora

SINGAPURA SERTAI MALAYSIA, BRUNEI, INDONESIA CALONKAN ZAPIN UNTUK SENARAI WARISAN UNESCO
Tiada unsur komersial perjanjian tiga gajah Malaysia ke Jepun – Majlis Perbandaran Taiping
GP BAHRAIN DI MALAYSIA: SEPANG KEMBALI BERGEGAR SEMPENA F1

PUTRAJAYA,. Platform pengangkutan kanak-kanak, KirimKids, menyasarkan untuk menambah bilangan pemandu wanita, dikenali sebagai Kaptain, kepada 100 orang dalam tempoh enam bulan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Pengasas platform itu Adila Jamal berkata KirimKids kini bekerjasama dengan 20 Kaptain, namun hanya mampu menerima dua hingga tiga keluarga setiap bulan disebabkan kekurangan pemandu yang sesuai di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.

Beliau berkata syarikat itu menerima antara 15 hingga 20 pertanyaan baharu setiap bulan, bagaimanapun cabaran utama syarikat tersebut bukanlah permintaan daripada pelanggan, sebaliknya mencari Kaptain yang lokasi dan jadualnya memenuhi keperluan pengangkutan keluarga berkenaan.

“Perkhidmatan pengangkutan sekolah beroperasi dalam jangka masa tertentu, jadi pemandu perlu berada berdekatan dengan keluarga terlibat dan mempunyai jadual yang sepadan dengan keperluan pengangkutan mereka,” katanya kepada Bernama.

Adila berkata usaha pengambilan pemandu baharu sedang dipergiat, khususnya di Petaling Jaya, Shah Alam dan Putrajaya, di samping syarikat turut menambah baik proses pendaftaran dan penyertaan pemandu baharu.
Beliau berkata KirimKids juga berusa menjalin lebih banyak kerjasama dengan sekolah bagi mengenal pasti keluarga yang mempunyai keperluan pengangkutan yang sama, sekali gus merangka laluan yang lebih cekap.

Adila berkata sejak ditubuhkan pada 2025, syarikat itu telah mengendalikan lebih 2,500 perjalanan dan beroperasi menggunakan model berasaskan langganan yang tertumpu kepada perjalanan ulang-alik ke sekolah dan laluan berjadual, dengan setiap keluarga diberi seorang Kaptain yang telah melalui proses tapisan.

Melalui aplikasi mobil KirimKids, katanya, ibu bapa dapat memantau perjalanan anak mereka secara masa nyata, menerima notifikasi pengambilan dan penghantaran serta berkomunikasi secara terus dengan Kaptain yang ditugaskan. Syarikat itu juga mengekalkan rangkaian pemandu gantian yang telah disaring bagi meminimumkan gangguan sekiranya Kaptain tetap tidak dapat bertugas.

Beliau berkata KirimKids menyediakan peluang pendapatan yang fleksibel kepada wanita, khususnya para ibu yang ingin mengimbangi kerjaya dengan tanggungjawab terhadap keluarga.

“Lazimnya, seorang Kaptain bertugas kira-kira enam jam pada hari persekolahan, merangkumi jadual pengangkutan pagi dan petang, manakala pada hujung minggu dan cuti umum biasanya waktu rehat.

“Setiap keluarga membayar antara RM350 hingga RM600 sebulan bagi seorang anak, bergantung pada jarak perjalanan dengan 85 peratus daripada bayaran itu diberikan kepada Kaptain, manakala baki 15 peratus untuk KirimKids,” katanya.

Adila berkata Kaptain yang mengendalikan laluan penuh memperoleh pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan. Selain itu, syarikat tersebut sedang meneliti pilihan pembiayaan kenderaan bagi wanita yang memenuhi kriteria pemandu yang ditetapkan, namun tidak memiliki kenderaan yang sesuai.

Berkaitan dengan keselamatan, beliau berkata semua bakal Kaptain diwajibkan menjalani proses pengesahan identiti, pemeriksaan rekod jenayah dan penilaian rekod pemanduan melalui penyedia saringan pihak ketiga, di samping pemeriksaan kenderaan.

Syarikat berkenaan juga sedang berusaha untuk memasukkan liputan takaful sebagai langkah perlindungan tambahan bagi kanak-kanak sepanjang perjalanan mereka serta merancang untuk memperluas penggunaan teknologinya ke sekolah-sekolah dan pengendali pengangkutan bebas.

— BERNAMA