KUALA LUMPUR,. ASEAN perlu menarik lebih banyak pelaburan swasta bagi sektor infrastruktur, memandangkan pembiayaan awam sedia ada dijangka hanya mamp
KUALA LUMPUR,. ASEAN perlu menarik lebih banyak pelaburan swasta bagi sektor infrastruktur, memandangkan pembiayaan awam sedia ada dijangka hanya mampu menampung kurang daripada separuh keperluan rantau ini sehingga 2040, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB).
Ahli Ekonomi ADB, Milan Thomas berkata dana awam boleh digunakan secara selektif untuk mengurangkan risiko projek sekali gus menarik pelabur swasta.
“Mobilisasi sumber domestik perlu menjadi sebahagian daripada usaha ini. Dana awam boleh digunakan secara selektif untuk membawa masuk modal swasta terutamanya bagi tujuan pengurangan risiko,” katanya ketika berucap pada Persidangan Prospek Ekonomi Kebangsaan yang berlangsung di sini hari ini.
Persidangan tersebut dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
ADB menganggarkan bahawa ASEAN memerlukan pelaburan infrastruktur berjumlah US$7.1 trilion (US$1=RM4.1) dari 2026 hingga 2040 bersamaan dengan kira-kira US$476 bilion setahun.
Berdasarkan tahap semasa, Thomas berkata pelaburan awam hanya akan menampung kira-kira 45 peratus daripada keperluan tersebut sekali gus mewujudkan jurang pembiayaan tahunan dianggarkan sebanyak US$264 bilion.
“Sektor elektrik merangkumi kira-kira separuh daripada keperluan pelaburan rantau ini termasuk aspek penjanaan, penghantaran, penyimpanan dan sambungan merentasi sempadan.
“Hampir US$600 bilion turut diperlukan untuk infrastruktur digital, termasuk rangkaian jalur lebar dan pusat data,” katanya.
Thomas turut menekankan peruntukan sebanyak US$5 bilion oleh ADB bagi inisiatif Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid) bertujuan untuk meningkatkan integrasi grid menjelang 2030, langkah itu akan membolehkan negara-negara anggota untuk menjalankan perdagangan tenaga elektrik merentasi sempadan serta memanfaatkan pelbagai sumber penjanaan tenaga yang lebih luas.
— BERNAMA

