BANGKOK,. Thailand menegaskan semula komitmennya terhadap proses pendamaian dengan Kemboja bagi menyelesaikan pertikaian sempadan maritim kedua-dua ne
BANGKOK,. Thailand menegaskan semula komitmennya terhadap proses pendamaian dengan Kemboja bagi menyelesaikan pertikaian sempadan maritim kedua-dua negara di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).
Suruhanjaya Pendamaian dijadual mengadakan lawatan lapangan ke kedua-dua negara dalam masa terdekat.
Kementerian Luar Thailand memaklumkan bahawa lawatan yang dirancang itu dibincangkan semasa mesyuarat ketiga prosiding pendamaian yang berlangsung di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur dari 24 hingga 27 Nov.
“Lawatan itu akan membolehkan suruhanjaya memahami dengan lebih baik mengenai ciri geografi dan keadaan khusus kawasan terbabit, sekali gus membantu pelaksanaan tugasnya dalam prosiding pendamaian yang sedang berlangsung,” menurut kementerian itu dalam kenyataan di laman web rasminya pada Jumaat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow, yang mengetuai delegasi Thailand selaku wakil rasmi negara itu, menegaskan semula komitmen Thailand terhadap proses berkenaan serta kesediaannya mewujudkan suasana kondusif bagi perbincangan lanjut.
Kementerian memaklumkan bahawa mesyuarat tertutup berkenaan memberi tumpuan kepada aspek teknikal penentuan sempadan maritim, dengan delegasi Thailand mengemukakan pandangan dan maklumat teknikal berkaitan kepada suruhanjaya.
Thailand berpegang pada pendirian bahawa penentuan sempadan maritim dengan Kemboja mesti berlandaskan undang-undang antarabangsa, di samping menjaga kepentingan nasionalnya.
Sebagai negara pihak kepada UNCLOS, Thailand bersedia memberikan kerjasama secara konstruktif dan ikhlas kepada suruhanjaya, manakala agensi berkaitan bekerjasama erat bagi melindungi kedaulatan dan kepentingan nasional negara itu.
Proses berkenaan bertujuan mencapai penyelesaian yang saksama dan berkekalan dalam penentuan sempadan maritim kedua-dua negara.
Delegasi Thailand turut dianggotai Timbalan Perdana Menteri Pakorn Nilprapunt selaku penasihat, Ketua Pengarah Jabatan Perjanjian dan Hal Ehwal Undang-Undang Songchai Chaipatiyut selaku timbalan wakil rasmi, selain wakil agensi kerajaan berkaitan dan pakar teknikal.
Mesyuarat ketiga anjuran Mahkamah Timbang Tara (PCA) itu menyusuli mesyuarat kedua di The Hague, Belanda pada Oktober, yang memberi tumpuan kepada pembentangan pandangan dan maklumat teknikal mengenai penentuan sempadan maritim.
Mesyuarat pertama Suruhanjaya Pendamaian berlangsung di Singapura dari 14 hingga 16 Sept, dengan kedua-dua negara menerima pakai Terma Pelantikan dan Peraturan Tatacara bagi menetapkan kerangka kerja suruhanjaya serta prosiding selanjutnya.
— BERNAMA

