
MITI dan MATRADE rangka Pelan Tindakan Perdagangan Nasional 2021-2025
KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) kini sedang membangunkan Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (2021-2025) untuk meningkatkan daya saing perdagangan negara di peringkat antarabangsa.
Dalam satu kenyataan, MATRADE berkata eksport telah menjadi tulang belakang kepada ekonomi Malaysia dengan nilai keseluruhan berjumlah RM986.38 bilion pada 2019, menyumbang 65.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dinamik eksport telah berubah dalam tempoh 10 tahun lepas.
“Pelan tindakan ini akan menyentuh isu kekangan bekalan dan permintaan, serta jurang dan cabaran dalam persekitaran perniagaan yang merencatkan prestasi perdagangan.
“Amalan dan strategi yang baik oleh negara lain yang berdagang dan organisasi promosi perdagangan juga akan diambil kira untuk membantu merumuskan pelan tindakan praktikal dan program bagi pertumbuhan perdagangan Malaysia yang berterusan,” katanya.
MATRADE berkata pelan tindakan itu juga akan mengenal pasti bidang pertumbuhan baharu bagi eksport Malaysia untuk terus mendorong pertumbuhan ekonomi negara.
Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia telah menyebabkan kesan yang tidak pernah berlaku kepada perdagangan global.
“Sehubungan itu, sudah tiba masanya untuk Malaysia membangunkan Pelan Pembangunan Perdagangan Nasional untuk memberi nafas baharu dan meningkatkan ekonomi Malaysia,” katanya.
Oleh itu, MATRADE meminta kerjasama daripada pengeksport dan pengeksport yang bercita-cita tinggi untuk sertai tinjauan di seluruh negara untuk membantu mengenal pasti isu dan cabaran eksport.
Maklum balas dan pandangan yang relevan akan menentukan arah perdagangan untuk lima tahun yang akan datang, katanya.
— BERNAMA