Kelantan cadang kenakan cukai pemasangan kabel utiliti

Kelantan cadang kenakan cukai pemasangan kabel utiliti

KOTA BHARU,. Kerajaan Kelantan bercadang mengenakan cukai terhadap mana-mana kabel utiliti yang dipasang sama ada di dalam bumi atau di bawah laut bagi menambah hasil kerajaan negeri.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata perkara tersebut sedang diusahakan selepas kerajaan negeri menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang memberi had sempadan laut bagi setiap negeri kepada tiga batu nautika.

“Dengan penolakan Akta 750 ini, insya-Allah kami akan kenakan (cukai) kepada mana-mana struktur ataupun laluan paip dan sebagainya dalam bumi dan laut untuk mendapatkan hasil,” katanya pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang ingin tahu adakah kerajaan negeri mengenakan cukai kepada semua kabel utiliti yang telah ditanam di kawasan rizab jalan.

DUN Kelantan pada 2015 meluluskan usul bagi menolak Akta 750 yang dilulus di Parlimen pada 2012. Kesan Akta 750 adalah setiap negeri perlu menyerahkan pelantar benua kepada kerajaan Persekutuan, selain perairan wilayah setiap negeri hanya dihad kepada 3 batu nautika sahaja.

Terdahulu, Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan Kewangan negeri berkata, antara perkara yang dilakukan dalam usaha meningkatkan hasil kerajaan negeri selain pungutan hasil tanah termasuklah melaksanakan persempadanan semula kategori tanah di semua jajahan bersesuaian dengan perkembangan perbandaran semasa.

“Seterusnya adalah mempercepatkan proses pemberimilikan tanah kepada pelanggan individu, anak-anak syarikat, agensi negeri serta agensi kerajaan Persekutuan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat telekomunikasi yang melibatkan segala struktur utiliti contohnya pencawang dan menara.

“Antara lain juga menguatkuasakan caj penggunaan bagi sebarang aktiviti binaan yang melibatkan hutan simpan kekal termasuk talian bervoltan tinggi dan kabel fiber optik serta membuat semakan cukai tanah ke atas tanah yang terlibat dengan perkara berkenaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) yang mahu tahu apakah usaha yang dibuat oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan hasil selain daripada pungutan hasil tanah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This