
ADUN Pemanis sahkan sertai BERSATU
JOHOR BAHRU,. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr Chong Fat Full, mengesahkan sudah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Sabtu lalu.
Dr Chong yang juga ADUN Bebas berkata, keputusan itu diambil berikutan yakin BERSATU akan menjadi wadah relevan buatnya dalam terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasannya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor berkata, beliau akan terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaannya berbanding kepentingan diri dan politik.
“Ya, saya sudah sah menjadi ahli BERSATU sejak lima hari lalu ketika acara rasmi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Komuniti Negara (PKN) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Bekas ahli PKR dalam G10 termasuk bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan penggerak PKN lain juga hadir dan mengumumkan keputusan menyertai BERSATU pada hari berkenaan.
“Ramai yang tidak sedar dan mungkin terlupa saya juga ialah anggota PKN. Jadi, keputusan menyertai BERSATU bukanlah sesuatu yang sepatutnya mengejutkan. Bagaimanapun, ramai menghubungi saya semula bagi mengesahkannya (sertai BERSATU) dan saya beri pengesahan, ” katanya ketika dihubungi.
4 Mac lalu, Dr Chong mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi ADUN Bebas, sekali gus menyokong kerajaan Muafakat Nasional (BN) di Johor.
Dua hari kemudian, Dr Chong dilantik sebagai antara 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor dan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene.
Ia susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Johor selepas Datuk Hasni Mohammad, diangkat menjadi Menteri Besar yang baharu pada 28 Februari lalu.
Sabtu lalu, PKN mengumumkan keputusan menyertai BERSATU, demi memacu perpaduan negara dan menjamin kestabilan politik Malaysia.
Sebahagian besar ahli PKN dianggotai bekas pemimpin PKR dan diterajui kumpulan menggelar diri sebagai G10.
Antara bekas ahli PKR dalam G10 ialah bekas Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin; dua bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin serta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.
Dr Chong berkata, beliau optimis masa depan BERSATU berikutan pengumuman Muhyiddin yang juga Presidennya bahawa parti berkenaan bakal mewujudkan ‘New Chapter’ bagi membolehkan ahli bersekutu sepertinya memegang jawatan dalam parti dan menyumbang idea untuk memajukan parti serta negara.
“BERSATU akan menjadi lebih progresif kerana tidak hanya memperjuangkan orang Melayu dan Bumiputera, malah memberi ruang kepada bukan Melayu menyertai perjuangan bersama membentuk negara bangsa,” katanya.
Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya ialah UMNO dan DAP masing-masing 14; BERSATU (12); MIC (dua); PAS (satu), manakala AMANAH (9) dan PKR (empat).