Koop Sahabat umum dividen 11 peratus

Koop Sahabat umum dividen 11 peratus

KUALA LUMPUR,. Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd (Koop Sahabat) hari ini mengumumkan pulangan dividen sebanyak 11 peratus bersamaan RM4.25 juta kepada 222,298 anggotanya sekaligus mengatasi pencapaian pemberian dividen sebanyak 8.0 peratus pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Koop Sahabat, Mazri Mahmood berkata pembayaran dividen itu adalah berdasarkan modal syer bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2019 dan selepas ditolak pemotongan zakat berjumlah 8.5 peratus.

Keupayaan Koop Sahabat untuk membayar dividen banyak dibantu oleh aktiviti perniagaan Ar-Rahnu yang telah menyumbang pendapatan bersih berjumlah RM6.7 juta berbanding RM4.8 juta pada 2018.

Pemberian dividen itu jelas membuktikan kemampuan Koop Sahabat memberikan pulangan yang tinggi secara konsisten kepada anggotanya menerusi pelaburan dalam sektor perniagaan bernilai tinggi yang menjamin keuntungan kepada anggota terutama dalam golongan B40.

”Disamping dapat membantu meringankan sedikit beban kewangan kepada anggotanya, dividen yang diberikan diharap dapat menjadi rangsangan kepada golongan terbabit bagi memajukan perniagaan yang diceburi” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mazri, Koop Sahabat telah merangka Pelan Strategik bagi tempoh 2020-2024 meliputi tadbir urus korporat, integriti dalam penyampaian perkhidmatan dan penerokaan peluang-peluang perniagaan serta pelaburan baharu bernilai tinggi, yang mampu memberikan keuntungan kepada syarikat.

Koop Sahabat memiliki perniagaan berskala besar seperti perhotelan, perladangan, kilang pembuatan makanan melalui pengumpulan modal anggota di dalam koperasi yang semuanya milik Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Tahun lalu, buat pertama kalinya AIM menerima dividen daripada anak syarikat tunggalnya, AIM Sdn Bhd berjumlah RM1.18 juta.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )