Operasi pembenihan awan empangan Teluk Bahang ditangguh

Operasi pembenihan awan empangan Teluk Bahang ditangguh

GEORGE TOWN,. Lapan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air di Empangan Teluk Bahang tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa.

Beliau berkata siri pertama operasi pembenihan awan itu dijadualkan dilaksanakan pada akhir Ogos.

Operasi pembenihan awan itu, katanya, sepatutnya dilakukan oleh kontraktor swasta yang disyorkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Bagaimanapun pada 24 Ogos, kontraktor swasta itu memaklumkan Badan Kawal Selia Air (BKSA) bahawa operasi pembenihan awan tidak dapat dijalankan seperti yang dijadualkan.

“Alasan yang diberi oleh kontraktor swasta itu ialah kerana syarikat belum menerima ‘suar’ yang diperlukan untuk operasi pembenihan awan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Empangan Teluk Bahang di sini.

Beliau menjelaskan bahawa suar yang digunakan dalam operasi pembenihan awan merujuk kepada bahan kimia yang berfungsi sebagai bahan pemeluwapan untuk meningkatkan kemampuan awan menghasilkan hujan.

Beliau menggesa BKSA supaya menghubungi MetMalaysia untuk meminta bantuan bagi mempercepatkan pelaksanaan siri pertama operasi pembenihan awan secepat mungkin.

“Diharapkan siri pertama dapat dilaksanakan pada September ini,” tambahnya.

Sementara itu, Jaseni berkata PBAPP akan melaksanakan projek air mentah luar jangka untuk mengisi semula Empangan Teluk Bahang bulan depan.

Katanya, projek itu melibatkan kerja mengalihkan air mentah dari kawasan tadahan air Sungai Pinang berhampiran air terjun Titi Kerawang ke empangan.

“Projek ini akan membolehkan Empangan Teluk Bahang memanfaatkan dua sumber air mentah, iaitu kawasan tadahan air Teluk Bahang dan kawasan tadahan air Sungai Pinang, yang kira-kira 8.6 kilometer melalui jalan raya,” katanya.

Beliau berkata penggunaan projek itu adalah komponen lain dalam rancangan keseluruhan PBAPP untuk mempertahankan keupayaan efektif Empangan Teluk Bahang sehingga musim hujan tiba.

“Mulai 28 Ogos, kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang adalah 16.4 peratus, yang cukup untuk bekalan 51 hari tanpa hujan,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )