Calon Labuk fokus isu pembangunan, tingkat sosioekonomi

Calon Labuk fokus isu pembangunan, tingkat sosioekonomi

BELURAN, 23 Sept — Isu pembangunan dan peningkatan taraf sosioekonomi rakyat antara tumpuan calon Perikatan Nasional (PN-Bersatu), Samad Jambri@Jamri sekiranya berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Samad berkata taraf ekonomi rakyat kawasan berkenaan, salah satu daripada tiga kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen Beluran, boleh ditingkatkan jika perancangan ke arah itu dibuat secara bersasar dan lebih teratur.

“Kalau sumber ekonomi masyarakat kita ini tidak ditingkatkan, amat sukar bagi kita mengubah landskap pembangunan di sini, jadi tumpuan khusus utama kita bagi memastikan sektor ekonomi harus ditingkatkan dahulu,” katanya ketika ditemui Bernama selepas mengadakan majlis bersama rakyat di sini.

Dua lagi DUN di bawah kawasan Parlimen Beluran ialah DUN Sugut dan DUN baharu Telupid.

Lebih mesra dikenali sebagai ‘Erick’ dalam kalangan penduduk setempat, Samad, 47, yang kini bertugas sebagai setiausaha politik Menteri Pertanian dan Industri Makanan, berkata aspek pelancongan, industri hiliran hasil laut serta pertanian berpotensi dibangunkan.

Bagaimanapun, beliau berkata ia hanya akan dapat direalisasikan sekiranya kerajaan negeri selari dengan kerajaan Persekutuan yang dipimpin PN sekarang.

“Sebab itulah saya percaya pengundi akan memikirkan semula tentang hubung kait untuk calon yang mana lebih mesra dengan kerajaan Persekutuan itu sendiri untuk menjadi pilihan mereka disebabkan keperluan pembangunan yang masih luas dan sebenarnya dinantikan oleh pengundi itu sendiri,” katanya.

Samad akan berdepan pertandingan lima penjuru menentang Dennis Tweening Rantau (Warisan Plus-UPKO), Sh Shuhaimi Sh Miasin (USNO), Abdul Rahman Kongkawang (Bebas) dan Fidelis K Michael (PCS).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi berkenaan dimenangi Abdul Rahman Kongkawang yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam pertandingan lima penjuru, dengan majoriti 2,600 undi.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )