Ringgit dibuka lebih tinggi pagi ini

Ringgit dibuka lebih tinggi pagi ini

KUALA LUMPUR,. Nilai ringgit melantun semula dan dibuka tinggi berbanding dolar AS menjelang mesyuarat keempat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadualkan minggu depan, kata seorang penganalisis.

Ringgit sebelum ini telah mencatatkan penurunan selama dua hari dagangan berturut-turut.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4060/4070 berbanding dolar AS daripada 4.4075/4090 pada penutup semalam.

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pelabur pasaran telahpun mengambil kira jangkaan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh BNM kepada melebihi empat peratus.

“Dengan adanya subsidi dan kawalan harga serta langkah pelonggaran kuantitatif untuk menguruskan inflasi, BNM tidak perlu melakukan secara berlebihan terhadap kenaikan kadar.

“Justeru, kami berpendapat BNM tidak akan bertindak sebegitu agresif seperti penetapan harga pasaran, dan ini membuka pintu kepada ringgit yang lebih lemah kecuali jika Rizab Persekutuan (Fed) tidak menaikkan kadar selepas September,” katanya.

“Saya menjangkakan ringgit akan kekal lemah sehingga Lembaga Rizab Persekutuan menyatakan ia perlu mengurangkan kadar dan terdapat perubahan muktamad dalam dasar sifar COVID-19 China.

“Kami mengunjurkan gandingan dolar-ringgit diniagakan pada 4.45 sebelum bertambah baik pada suku keempat disebabkan oleh pemberhentian seketika dalam kenaikan kadar Fed dan pertumbuhan yang kian menggalakkan di China. Namun begitu, kami tidak membayangkan ringgit akan kembali kepada RM4.20 dalam masa terdekat dan menyasarkan RM4.35 untuk akhir tahun,” katanya.

Nilai ringgit bagaimanapun diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Ringgit menyusut nilai sedikit berbanding pound Britain kepada 5.3559/3571 berbanding penutup Khamis pada 5.3485/3503 dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.2411/2423 daripada 3.2344/2357 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1686/1696 daripada 3.1670/1685 sebelum ini dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.6144/6155 daripada 4.5961/5977 semalam.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )